DEKLARASI Kuala Lumpur yang bakal dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini dilihat sebagai satu pencapaian penting yang mampu menetapkan halatuju strategik ASEAN dalam mendepani era digital dan cabaran geopolitik serantau.

Menurut pakar hubungan antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, deklarasi ini bukan sahaja menjadi simbol komitmen bersama, tetapi turut menampilkan pendekatan baharu dan nilai tambah dalam memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya saing.

“Deklarasi ini menetapkan hala tuju kukuh untuk memacu masa depan blok serantau kerana ia merangkumi aspek tadbir urus digital yang inklusif, transformasi teknologi dan kesediaan strategik.

“Selain itu, ia juga bersandarkan kerjasama erat antara negara-negara anggota,” katanya ketika dihubungi Negara News.

Tambah beliau, fokus utama Deklarasi Kuala Lumpur adalah mewujudkan kerangka tadbir urus digital serantau yang mampan, inklusif serta bertanggungjawab, dengan penekanan kepada etika teknologi, perlindungan data peribadi dan pembangunan mampan.

“Kita perlukan piawaian bersama dan amalan etika dalam penggunaan teknologi yang boleh dipercayai.

“Ini termasuklah soal keselamatan data dan perlindungan akses terhadap maklumat peribadi pengguna,” jelasnya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan bahawa keamanan dan keselamatan yang kekal adalah prasyarat penting dalam memastikan pembangunan digital serantau yang berkesan.

Mengulas lanjut, Dr Umi menegaskan bahawa Deklarasi KL membawa nilai tambah yang membezakan ia daripada pelan terdahulu seperti ASEAN Digital Masterplan 2025 (ADM 2025).

“ADM 2025 lebih kepada kerangka fasiliti dan pembangunan digital. Tapi deklarasi ini lebih menyeluruh dan strategik, termasuk penekanan terhadap keselamatan siber, etika penggunaan AI dan transformasi hijau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan deklarasi ini sebagai dokumen dasar yang responsif terhadap tiga cabaran besar dunia hari ini iaitu geopolitik, keselamatan siber dan perubahan iklim.

“Dalam konteks geopolitik, ASEAN tegas dengan prinsip tidak berpihak dan menolak hegemoni digital.

“Kita mahu kerjasama digital yang terbuka dan tidak dimonopoli oleh kuasa besar,” tegasnya.

Bagi ancaman siber pula, antara pendekatan yang diketengahkan ialah inisiatif amaran awal siber serantau untuk menangani serangan terhadap sektor kritikal seperti kesihatan dan kewangan.

Manakala untuk isu perubahan iklim, Dr. Umi menjelaskan bahawa teknologi digital perlu dimanfaatkan untuk pemantauan iklim, pengurusan sumber dan sistem amaran bencana yang lebih berkesan.

Selain itu, Deklarasi Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai satu alat diplomasi strategik, khususnya buat negara membangun.

“Deklarasi ini penting untuk menekankan isu jurang teknologi dan dominasi kuasa besar.

“ASEAN sebagai blok bebas perlu bersuara dan memastikan tidak terjerat dalam perebutan kuasa digital dunia,” ujarnya.

Kesimpulannya, Deklarasi Kuala Lumpur bukan hanya satu dokumen retorik, tetapi strategi konkrit untuk membawa ASEAN ke hadapan, bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai pelakar dasar yang berdaulat dan bertanggungjawab dalam era digital serantau dan global.