SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-46 disifatkan sebagai detik penting dalam merangka semula hala tuju geopolitik dan ekonomi rantau Asia Tenggara dalam usaha membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan menjelang tahun 2045. 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, ASEAN kini berada di persimpangan kritikal untuk menentukan hala tuju hubungan luar, terutama dalam konteks ketegangan kuasa besar dunia.

“Kebergantungan yang terlalu kuat kepada Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah menyebabkan ASEAN tidak memiliki ruang yang cukup luas untuk menyuarakan pandangan dan kepentingan sendiri secara bebas. 

“Kewujudan dua kuasa besar lain seperti China dan Russia memberikan ASEAN opsyen strategik baharu yang lebih seimbang dan pragmatik,” ujar beliau ketika dihubungi Negara News.

Menurut Dr. Mohamad Faisol, China kini dilihat lebih terbuka dan sederhana dalam mendekati negara-negara jiran di Asia Tenggara. 

“Selain menjadi rakan dagang utama kepada hampir kesemua negara ASEAN, China juga komited terhadap pelaksanaan dasar serantau yang menyokong keamanan dan pembangunan bersama,” ujarnya.

Tambah beliau, kemerosotan hubungan antara Rusia dan beberapa negara ASEAN dalam beberapa tahun kebelakangan ini membuka ruang kepada China untuk mengisi kekosongan tersebut, sekali gus memposisikan dirinya sebagai rakan strategik utama kepada ASEAN. 

“Situasi ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada ASEAN dari sudut ekonomi, malah turut membuka laluan kepada imbangan pengaruh dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana China dan Russia merupakan anggota tetap.

“Ini merupakan peluang unik kepada ASEAN untuk menjana pengaruh, bukan sahaja dalam peringkat serantau, tetapi juga dalam wacana global mengenai keselamatan dan ketenteraman dunia,” katanya lagi.

Sementara itu, isu ketegangan antara India dan Pakistan turut perlu diberi perhatian dalam sidang kali ini. 

Beliau menyatakan bahawa konflik yang berlaku di kawasan yang berhampiran dengan Asia Tenggara mampu memberi kesan tidak langsung kepada kestabilan rantau ini. 

“Keberkesanan teknologi ketenteraan China yang digunakan Pakistan juga wajar dijadikan asas perbandingan dalam usaha memodenkan keupayaan pertahanan negara-negara ASEAN,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohamad Faisol berkata, perspektif negara-negara ASEAN terhadap China juga mengalami perubahan ketara dalam dua dekad terakhir. 

“Jika pada awal tahun 2000 China dilihat sebagai ancaman terhadap kestabilan serantau, kini pandangan tersebut semakin berubah ke arah yang lebih positif, dengan melihat China sebagai rakan strategik yang mampu menawarkan peluang pembangunan bersama.

“Perubahan ini turut disokong oleh fakta bahawa China merupakan negara pelabur dan penyumbang utama dalam pelbagai inisiatif ASEAN seperti Belt and Road Initiative (BRI) dan Rangka Tindakan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut disertai oleh kesemua negara ASEAN,” jelasnya lagi.

Dalam konteks ekonomi pula, Dr. Faisol menegaskan bahawa pemulihan pasca pandemik Covid-19 perlu dilaksanakan secara kolektif dan menyeluruh dalam kalangan negara ASEAN. 

“Rantau ini kini merupakan pasaran yang saling bergantung antara satu sama lain, contohnya, lebih 20 peratus eksport Malaysia pada tahun 2024 disalurkan ke negara ASEAN, dengan nilai melebihi RM200 bilion.

“Negara-negara ASEAN perlu melihat jiran serantau sebagai rakan ekonomi utama, dan bukan sekadar sandaran kepada pasaran luar seperti AS semata-mata,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar ASEAN mengambil langkah proaktif memanfaatkan kestabilan politik dan kemajuan teknologi China dalam memperkukuh pelaburan dua hala dan membina rantai ekonomi yang inklusif, mampan serta berdaya saing.

Menurutnya lagi, kebergantungan ekonomi yang terlalu tinggi kepada AS boleh menyebabkan ASEAN terpaksa tunduk kepada kehendak luar, walaupun ia bercanggah dengan keperluan dan kepentingan rantau ini sendiri. 

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa ASEAN kini mempunyai peluang untuk merencana masa depan ekonomi yang lebih bebas dan pelbagai hala, dengan memanfaatkan kemunculan kuasa ekonomi baharu seperti China, Jepun dan Kesatuan Eropah.

“Kita tidak boleh lagi berpaksikan hanya kepada satu kuasa. Teknologi dan modal dari China misalnya, telah terbukti sukar digugat walaupun dalam krisis perdagangan bersama AS baru-baru ini. Ini wajar dijadikan kelebihan oleh ASEAN untuk memperkukuh kemandirian ekonomi,” tegas beliau.

Akhir sekali, Dr. Mohamad Faisol percaya bahawa negara-negara ASEAN memiliki sumber asli dan kepakaran tempatan yang cukup besar untuk dimanfaatkan dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan bersama. 

“Penggunaan teknologi dari China yang kini sudah mendapat pengiktirafan global juga mampu melonjakkan prestasi ekonomi serantau.

“Kesimpulannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 perlu menjadi titik perubahan untuk memartabatkan ASEAN sebagai entiti geopolitik dan ekonomi yang dihormati di mata dunia, sejajar dengan aspirasi membina Komuniti ASEAN 2045 yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat,” ungkapnya.