KUALA LUMPUR – Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 bukan sahaja memperlihatkan kemampuan Malaysia sebagai pengerusi yang berwibawa, tetapi juga menyerlahkan keupayaan infrastruktur digital serta kestabilan komunikasi negara di peringkat tertinggi.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil menegaskan bahawa usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyediakan capaian internet yang stabil dan pantas wajar diberi pujian, apatah lagi dalam konteks menjadi tuan rumah persidangan berprofil tinggi seperti ini.
“Sidang Kemuncak ASEAN sangat penting untuk negara, khususnya di peringkat MCMC. Usaha mereka cukup konsisten dan proaktif dengan capaian internet bukan saja stabil bahkan di tahap tertinggi mengikut garis transformasi digital.
“Dari sudut kestabilan dan capaian, kita menjuarai bersama Thailand,” katanya ketika dihubungi Negara News.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran pengamal media tempatan dan antarabangsa menjadikan pusat media sebagai nadi komunikasi utama.
Justeru, capaian internet yang lancar menjadi aspek kritikal dalam menjayakan penyiaran lintas negara.
Dalam konteks keselamatan digital, Siraj memuji kerjasama strategik antara agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia yang berjaya mengekalkan tahap keselamatan siber di paras optimum.
Usaha ini, katanya, menjadi faktor penarik utama syarikat gergasi digital seperti Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft untuk melabur di Malaysia.
“Kalau aspek orang nak melabur dalam sektor digital, kita dah tengok siri syarikat gergasi bertapak di negara kita.
“Nilai kepercayaan tinggi terhadap keselamatan siber negara kita menjadi faktor utama. Rakyat Malaysia boleh dipercayai, sebab itu mereka yakin membawa data siber mereka ke sini,” tambahnya.
Siraj turut menyebut tentang pencapaian MCMC menerusi inisiatif JENDELA yang menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada tahun 2023, satu penanda aras yang jelas terhadap standard infrastruktur digital negara.
Dalam kerangka geopolitik semasa, terutama ketegangan antara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, Malaysia dilihat sebagai zon berkecuali yang sesuai untuk pelaburan dan kerjasama digital serantau.
Beliau melihat Sidang Kemuncak ASEAN sebagai peluang untuk Malaysia mempamerkan peranan sebagai pengaman digital serantau.
“Perang digital kini menjadi sebahagian daripada perang geopolitik.
“Dalam ketegangan antara blok timur dan barat, banyak negara mencari tempat yang lebih tenang dan berkecuali.
“Malaysia dikenali sebagai negara berdiplomasi tinggi, dan tidak terkecuali dalam aspek digital,” katanya.
Beliau menutup ulasannya dengan harapan agar sidang kali ini menjadi pemacu kepada ekosistem ekonomi digital ASEAN, sekali gus mengekalkan kestabilan rantau ini di tengah ketidaktentuan global.
“Kita harap moga persidangan ASEAN kali ini mencapai matlamatnya, bukan sahaja untuk kepentingan negara tetapi juga seluruh ASEAN,” ujarnya.
