KUALA LUMPUR – Malaysia, Singapura dan Vietnam hari ini mencatat sejarah penting apabila menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama bagi meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui. 

Tenaga tersebut akan diteroka daripada sumber angin luar pesisir Vietnam ke Malaysia dan Singapura.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong dan Vietnam, Pham Minh Chinh sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Perjanjian itu melibatkan kerjasama tiga syarikat utama tenaga serantau iaitu MY Energy Consortium dari Malaysia (gabungan Tenaga Nasional Berhad dan PETRONAS), PTSC dari Vietnam (anak syarikat Petrovietnam) serta Sembcorp Utilities dari Singapura.

Menurut Anwar, projek ini akan memanfaatkan sumber tenaga angin luar pesisir di Vietnam bagi menjana elektrik bersih. 

Ia kemudian akan disalurkan merentasi sempadan melalui kabel dasar laut yang dicadangkan dan disambungkan terus ke grid nasional di Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini sejajar dengan visi Grid Kuasa ASEAN dan menyokong agenda nyahkarbon serantau. 

“Ia bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang stabil, rendah karbon serta memperkukuh kerjasama tenaga dan pembangunan model perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan yang berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, komited untuk terus memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh integrasi serantau dan membina masa depan rendah karbon bagi seluruh Asia Tenggara.

Penandatanganan perjanjian ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi dan daya saing rantau ini dalam bidang tenaga hijau, malah menjadi langkah awal ke arah pembentukan ekonomi tenaga bersih ASEAN yang berdaya tahan dan inklusif.