KUALA LUMPUR – Isu berkaitan penggunaan bendera Malaysia secara tidak wajar yang berulang kali melibatkan kelompok masyarakat Cina menggambarkan kegagalan mengambil iktibar daripada insiden terdahulu, tegas pakar perpaduan dan bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.
Beliau berkata, walaupun setiap insiden sering disusuli dengan permohonan maaf, namun tanpa perubahan sikap dan kesedaran kolektif dalam kalangan masyarakat tersebut, kesilapan yang sama akan terus berulang, sekali gus menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
“Kes sebegini sudah lama berlaku. Malangnya, saban kali ia berlaku, pelakunya datang daripada kelompok sama iaitu masyarakat Cina. Saya kira mereka tidak belajar daripada insiden lalu atau yang dilakukan oleh mereka sendiri.
“Sebagai contoh, bendera terbalik di kilang milik warga China dan pertandingan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia pada 2019 yang memaparkan bendera Malaysia dengan hanya lima bucu bintang – jelas satu penghinaan,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas insiden terbaru membabitkan bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit dalam akhbar Sin Chew Daily, beliau berkata perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi apabila melibatkan institusi media arus perdana yang telah lama bertapak di negara ini.
“Sin Chew ditubuhkan pada tahun 1929, jadi mereka sepatutnya ada tahap profesionalisme yang tinggi. Kesalahan ini amat besar kerana melibatkan simbol kedaulatan negara. Jika bukan disengajakan sekalipun, ia tetap kecuaian yang tidak boleh diterima.
“SOP dalaman mereka patut dipersoalkan. Bagaimana perkara sebegini boleh terlepas? Ini menyebabkan timbulnya spekulasi sama ada ia berniat menghina agama Islam dan negara atau tidak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau juga menzahirkan kekesalan terhadap sikap para pemimpin masyarakat Cina yang menurutnya sering membisu setiap kali isu sebegini tercetus.
“Setiap kali perkara begini berlaku, tidak ada pemimpin masyarakat Cina – baik dari politik, budaya mahupun perniagaan – yang tampil menasihati atau menegur komuniti mereka agar lebih peka dan berhati-hati.
“Cukup-cukuplah. Insiden seperti ini membangkitkan kemarahan rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam. Ia boleh memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian negara,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa permohonan maaf bukanlah jalan keluar selamanya dan tidak lagi bermakna sekiranya kesilapan sama dilakukan berulang kali.
“Apa yang penting sekarang, mereka perlu benar-benar ambil serius. Pemimpin masyarakat Cina perlu berganding bahu memberi nasihat dan memastikan insiden ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” tegasnya.
Malah, beliau turut mencadangkan agar tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuai atau sengaja mempersendakan simbol rasmi negara, termasuk media arus perdana.
“Ini bukan isu kecil. Ia menyentuh soal sensitiviti nasional dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak,” ungkapnya.
