KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 sebagai yang paling substantif dalam sejarah kerana ia bukan sekadar perbincangan, tetapi turut membuahkan kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna.
Anwar berkata demikian ketika mengimbau kembali perjalanan penuh cabaran serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut yang melabuhkan tirainya kelmarin.
Antara pencapaian utama sidang kemuncak tersebut ialah pemasyhuran Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, yang mencerminkan keupayaan Malaysia merancang hala tuju strategik rantau ini untuk tempoh dua dekad pasca-2025.
“Kita turut mencatat kemajuan besar dalam aspek ekonomi digital, pelaburan hijau, keterangkuman sosial dan kerjasama serantau yang lebih tersusun, khususnya dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China,” kata Anwar menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Dalam hantaran tersebut, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 turut berkongsi beberapa infografik menarik berkaitan pencapaian sidang berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN kini lebih bersatu, berorientasikan rakyat dan bersedia melangkah ke hadapan dengan semangat yang segar.
Infografik tersebut memperincikan pencapaian Malaysia sebagai peneraju sidang.
Antaranya ialah pertumbuhan ekonomi digital ASEAN yang mencecah 4.7%, mengatasi purata global; pemuktamadan inisiatif ATIGA (Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN); kemajuan dalam Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan peluncuran jaringan keselamatan bagi kecerdasan buatan (AI), menjadikan ASEAN perintis global dalam bidang tersebut.
Anwar turut menegaskan bahawa segala kejayaan itu adalah hasil daripada semangat kerjasama, perancangan rapi dan komitmen jitu semua negara anggota dalam menjayakan visi bersama untuk rantau ini.
