KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkemas, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 adalah sebahagian daripada Reformasi Fiskal MADANI yang bertujuan untuk memperkukuh kewangan negara tanpa membebankan rakyat.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), pelaksanaan SST versi baharu ini lebih adil dan bersasar, berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Tidak seperti GST yang dikenakan ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan, SST yang diperkenalkan semula ini hanya dikenakan terhadap barangan tidak penting dan perkhidmatan mewah. Barangan asas kekal bebas cukai,” jelas MOF.

Ini bermakna harga makanan dan keperluan harian kekal stabil dan hanya pengguna yang menggunakan barangan atau perkhidmatan mewah seperti spa, insurans premium atau barangan eksklusif akan dikenakan cukai.

Kerajaan juga menegaskan bahawa hasil cukai ini akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif sokongan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan awal persekolahan serta pembangunan infrastruktur awam.

“SST ini bukan beban, tetapi pelaburan sosial untuk rakyat. Ia adalah strategi fiskal berhemah untuk memastikan pendapatan negara digunakan semula demi kesejahteraan semua,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam usaha memastikan pelaksanaan yang adil dan tidak membebankan perniagaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan memberikan tempoh peralihan hingga hujung tahun ini tanpa denda atau penalti. 

Beberapa sektor juga diberi pengecualian cukai bagi mengelakkan kesan bertindih.

Langkah ini, menurut MOF menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjaga keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat, berbanding pelaksanaan GST dahulu yang dilihat menambah kos pematuhan kepada semua perniagaan tanpa mengira saiz.

“SST lebih fleksibel dan bertimbang rasa. Yang guna lebih, bayar lebih. Yang kurang guna atau berpendapatan rendah, tidak terbeban,” tambah kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan beliau sebelum ini turut menekankan keperluan negara untuk memperoleh pendapatan mampan tanpa menambah hutang, bagi membolehkan perbelanjaan berhemah demi manfaat generasi akan datang.

“Ini bukan cukai membuta tuli, tetapi langkah tanggungjawab fiskal. 

“Kita tidak mahu negara dibebani hutang, dan kita juga tidak mahu rakyat terbeban,” katanya.

Sementara itu, Presiden Poland, Andrzej Duda yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama tiga hari turut memuji pendekatan ekonomi Malaysia yang mengutamakan keseimbangan antara kemajuan dan perlindungan sosial, termasuk pelaksanaan dasar fiskal seperti SST yang diselaraskan dengan keperluan semasa.

Dengan pelaksanaan SST baharu ini, kerajaan berharap dapat menstabilkan ekonomi, merapatkan jurang sosial, dan menyediakan asas kewangan kukuh untuk pembangunan jangka panjang tanpa menjejaskan kuasa beli rakyat.

Slogan baru SST jelas menyatakan niat kerajaan: “Cukai Sasar, Bukan Beban.”