Data telefon bukan ancaman, tapi alat bantu bangunkan negara: MPD lindungi privasi rakyat
KUALA LUMPUR – Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, keupayaan kerajaan untuk merancang dasar dan pembangunan negara semakin diperkukuh dengan penggunaan data yang pintar dan selamat.
Salah satu inisiatif terkini ialah penggunaan Mobile Phone Data (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Inisiatif ini membolehkan kerajaan memahami corak pergerakan rakyat serta menilai keperluan infrastruktur secara lebih tepat tanpa menjejaskan privasi individu.
Berbeza dengan tanggapan segelintir pihak, data MPD bukan alat pemantauan atau pencerobohan peribadi.
Sebaliknya, ia merupakan sumber data teknikal yang telah dianonimkan dan diagregatkan.
Malah, ia kini menjadi asas kepada pelaksanaan dasar yang lebih cekap dan berpandukan bukti.
Apa itu MPD?
MPD merujuk kepada data teknikal yang dihantar secara automatik oleh telefon bimbit apabila ia berhubung dengan menara pemancar (pencawang).
Data ini tidak mengandungi maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon atau lokasi GPS pengguna.
Sebaliknya, ia hanya menunjukkan aktiviti sambungan, seperti jumlah pengguna yang membuat panggilan atau menggunakan data dalam tempoh masa tertentu.
Sebagai contoh: “Seramai 100 pengguna membuat panggilan pada pukul 8 malam semalam” – tanpa mendedahkan siapa pengguna tersebut.
Privasi Kekal Terpelihara
Segala data MPD telah diproses melalui kaedah anonimisasi dan pengagregatan, yang memastikan identiti pengguna tidak dapat dikesan atau dikenal pasti.
Ini bermakna, tiada mana-mana pihak termasuk kerajaan boleh mengetahui siapakah pengguna sebenar di sebalik data tersebut.
Data ini digunakan hanya untuk tujuan analisis secara umum dan bukan untuk pemantauan individu.
Bagaimana MPD Digunakan?
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi menggunakan MPD untuk:
– Menilai waktu puncak penggunaan perkhidmatan
– Merancang promosi seperti diskaun pada waktu tertentu
– Meningkatkan mutu liputan rangkaian di kawasan tumpuan
Kini, penggunaan MPD diperluas kepada sektor awam untuk menyokong:
– Perancangan dasar kerajaan yang berpaksikan data sebenar
– Pemetaan keperluan dan capaian rangkaian komunikasi
– Respons pantas terhadap krisis seperti bencana alam dan wabak penyakit
Sebagai contoh, semasa pandemik Covid-19, beberapa negara termasuk Sepanyol menggunakan MPD untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, sekali gus membolehkan pelaksanaan perintah berkurung yang lebih tepat dan berkesan.
Selaras dengan Amalan Antarabangsa
Inisiatif MPD di Malaysia turut seiring dengan amalan global.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf MPD sebagai sumber big data yang berpotensi memperkukuh statistik rasmi negara.
Sejak 2014, PBB telah menubuhkan Jawatankuasa Pakar Data Raya (UN-CBED) bagi menyelaras penggunaan data seperti ini secara bertanggungjawab.
Di peringkat nasional, pelaksanaan MPD tertakluk kepada garis panduan ketat yang ditetapkan oleh:
– Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU)
– GSMA (badan induk global bagi pengendali mudah alih)
– Dasar Keselamatan ICT Negara (NCSP)
Akses Terhad dan Keselamatan Dipantau
Pertukaran data MPD hanya berlaku antara syarikat telekomunikasi dan MCMC.
Tiada pihak ketiga terlibat dan hanya data yang telah dianonimkan serta diringkaskan akan digunakan, bukannya data mentah.
Akses kepada data ini juga dihadkan kepada pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Segala data akan dipadam selepas digunakan kecuali terdapat keperluan penyimpanan menurut protokol yang ketat.
Audit keselamatan secara berkala turut dijalankan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya.
Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan risiko penyalahgunaan data oleh pihak luar seperti syarikat pengiklanan, platform e-dagang atau aplikasi komersial.
Tangani Salah Faham, Kukuhkan Kepercayaan
Laporan media antarabangsa yang mendakwa penggunaan MPD menceroboh privasi pengguna dianggap tidak berasas dan hanya mencetuskan persepsi negatif.
Kurangnya pengetahuan teknikal dalam kalangan awam mengenai sistem isyarat telefon dan data turut menyumbang kepada salah faham tersebut.
Hakikatnya, penggunaan MPD membantu kerajaan membina dasar dan perancangan pembangunan yang lebih berasaskan realiti dan keperluan rakyat – tanpa menggadaikan keselamatan atau privasi individu.
Dengan pengurusan yang telus, terkawal dan berpandukan piawaian antarabangsa, MPD terbukti sebagai alat bantu strategik dalam mendukung agenda kemajuan negara.
