AYER KEROH – Bagi memacu agenda transformasi latihan kemahiran di Malaysia, kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Cadangan itu dibuat sebagai respons terhadap perkembangan pesat bidang TVET yang menyaksikan pertambahan ketara jumlah pelajar dan kepelbagaian jenis latihan, sekali gus memerlukan satu badan berautoriti tinggi bagi menyelaras dan memperkukuh hala tuju sektor tersebut.
“Perubahan mendadak ini menuntut penstrukturan semula. Maka, penubuhan suruhanjaya ini adalah penting bagi memastikan semua dasar dan pelaksanaan latihan teknikal berjalan lancar dan relevan dengan kehendak pasaran,” kata Anwar.
Menurut Perdana Menteri, penubuhan suruhanjaya itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan kini sedang meneliti keperluan dan kemudahan TVET secara menyeluruh supaya kelengkapan latihan dipertingkat, sambil memperkukuh sinergi antara syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dan institusi latihan.
“Tugas Majlis TVET Negara jika suruhanjaya ini diluluskan ialah memastikan agenda transformasi TVET terus diberi keutamaan, selari dengan keperluan tenaga kerja negara yang semakin mencabar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerajaan turut mencadangkan supaya gaji minimum bagi lulusan TVET dinaikkan kepada RM3,000 sebagai langkah meningkatkan daya tarikan bidang ini dalam kalangan belia dan memastikan kepakaran mereka diiktiraf oleh syarikat tempatan dan antarabangsa.
“Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan gaji minimum RM1,700 untuk lulusan TVET, sedangkan kadar kebolehpasukan kerja sudah mencecah 98 peratus. Maka gaji sewajarnya menggambarkan nilai kepakaran mereka,” kata Anwar.
Sementara itu, bagi memperluas peranan lulusan TVET dalam ekonomi negara, kerajaan turut menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta untuk membangunkan bidang keusahawanan dalam kalangan graduan TVET.
Program keusahawanan ini akan dilaksana dengan kerjasama syarikat-syarikat utama seperti Petronas, Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan PERKESO selain sektor swasta.
“Majlis TVET Negara akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk merangka pelaksanaan inisiatif keusahawanan ini dan mewujudkan ekosistem kondusif untuk graduan memulakan perniagaan,” katanya lagi.
