KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka Kertas Rundingan Awam bermula 25 Julai hingga 8 Ogos 2025 berhubung cadangan Kerangka Penyimpanan, Pemeliharaan & Pendedahan Data Komunikasi untuk Tujuan Siasatan.
Kerangka baharu ini mencadangkan penyedia perkhidmatan komunikasi, aplikasi dan platform diwajibkan:
• Menyimpan metadata tertentu (bukan kandungan mesej).
• Memelihara data penting atas permintaan siasatan.
• Menyediakan data kepada pihak berkuasa yang sah apabila diperlukan.
Mengapa Kerangka Ini Penting?
MCMC menjelaskan bahawa data komunikasi sering menjadi “puzzle yang hilang” dalam kes jenayah siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan. Dengan adanya kerangka seragam ini, pihak berkuasa dapat bertindak pantas dan efektif bagi melindungi rakyat.
Selain itu, cadangan ini juga bertujuan menghapuskan kekeliruan kerana amalan penyimpanan data kini berbeza antara syarikat. Kerangka ini dijangka menutup jurang sistemik, mempercepat siasatan, dan memastikan pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan.
Hak Privasi Tetap Terjamin
MCMC menegaskan kerangka ini bukan bertujuan untuk mengintip rakyat. Semua akses data hanya dibenarkan untuk kes siasatan dan tertakluk kepada undang-undang termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
Penyertaan Awam Digalakkan
MCMC mengajak orang ramai, pakar, peguam, NGO serta pengamal media untuk memberi pandangan terhadap kertas konsultasi ini. Tarikh akhir penghantaran pandangan ialah 8 Ogos 2025
