KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemberian insentif tunai tambahan RM100 kepada rakyat Malaysia kelmarin disifatkan sebagai satu langkah kecil namun proaktif dalam memperluas jaringan bantuan secara lebih menyeluruh, termasuk kepada kumpulan berpendapatan sederhana atau M40.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, insentif sebegini memberi gambaran bahawa kerajaan sedang berusaha menyeimbangkan semula dasar sosial sedia ada agar tidak hanya memfokuskan kepada golongan B40, tetapi turut mengambil kira beban kewangan sebenar yang ditanggung golongan M40.
“Golongan ini sering dilihat sebagai cukup mampu berdikari, namun realitinya mereka turut berdepan tekanan akibat ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.
“Bantuan kepada mereka sering kali agak terlindung berbanding B40,” katanya ketika dihubungi Negara News.
Beliau turut menyambut baik peluasan inisiatif tunai bersifat ‘one-off’ seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini merangkumi M40 terpilih, terutamanya mereka yang mempunyai tanggungan ramai.
Katanya, langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan mencari intervensi yang sesuai bagi memastikan daya tahan ekonomi kumpulan pertengahan ini sebagai nadi penting dalam kerangka pembangunan negara.
“Insentif seperti ini bukan sekadar mengurangkan beban kewangan secara sementara, tetapi turut menghantar mesej bahawa kerajaan mula mengiktiraf peranan penting golongan M40 dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurut Dr. Hamidaton, kumpulan M40 merupakan antara pemacu utama permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan kerana mereka mempunyai pendapatan boleh guna (disposable income) yang lebih tinggi berbanding B40.
“Oleh itu, menjaga kestabilan kuasa beli golongan ini secara tidak langsung membantu mengekalkan momentum ekonomi domestik.
“Ini selaras dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk melahirkan kelas pertengahan yang kukuh dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau menambah, meskipun bantuan RM100 itu bersifat sementara, ia tetap memberi impak positif dan memperlihatkan anjakan dasar ke arah lebih inklusif.
“Ini adalah isyarat awal bahawa kerajaan tidak lagi melihat sokongan ekonomi secara bersifat hierarki semata-mata, tetapi mula menilai realiti beban hidup merentas kelompok pendapatan,” katanya.
