SEPANGGAR, 4 Julai 2025 – Suasana di Taman Puri Warisan, Sepanggar hari ini bertukar penuh emosi apabila seorang demi seorang anak muda menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) – bukan melalui pos atau emel, tetapi diserahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud di depan pintu rumah mereka.
Antara yang diraikan ialah Noreqah Hamjan, 18, anak bongsu kepada seorang pemandu lori. Dalam nada terharu, dia mengakui bukan mudah membuat keputusan untuk meninggalkan keluarga, namun semangat yang dibawa oleh kehadiran YB Timbalan Menteri menguatkan tekadnya.
“Saya sangat gembira… tak sangka surat penting ini disampaikan sendiri oleh YB. Ini pengalaman yang tak akan saya lupa. Saya anak bongsu, jadi keputusan untuk berjauhan dengan keluarga memang berat,” katanya selepas menerima surat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di Politeknik Seberang Perai.
Ibunya, Alnah Sadjiril, turut tidak mampu menahan air mata. “Kami tak pernah masuk sekolah tinggi, tapi saya tahu hanya pendidikan boleh ubah hidup anak-anak kami. Saya harap dia jadi orang yang berguna, bukan saja untuk keluarga, tapi juga untuk negara,” luahnya dalam nada sebak.
Cerita sama turut dikongsi oleh Barbara Tracy Barry, pelajar dari keluarga B40 yang hanya tinggal bersama ayahnya. “Saya mahu berjaya demi ayah. Dia dah banyak berkorban untuk saya,” katanya sambil menggenggam erat surat tawaran.
Program penyerahan surat tawaran IPT ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mendekati pelajar luar bandar, khususnya dari keluarga berpendapatan rendah. Minggu ini, program berkenaan menyasarkan lima rumah pelajar sekitar Sepanggar selepas kejayaan pelaksanaan fasa pertama di Kota Belud.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, kehadirannya bukan sekadar menyerahkan dokumen, tetapi membawa semangat dan mesej penting bahawa anak-anak luar bandar tidak pernah dilupakan.
“Saya sendiri berasal dari kampung. Saya faham cabarannya. Sebab itu saya turun sendiri. Kita mahu pelajar tahu mereka dilihat, dihargai dan diberi peluang. Pendidikan tinggi bukan hak eksklusif orang bandar sahaja,” katanya.

Selain surat tawaran, KPT turut menyampaikan pelbagai bentuk bantuan seperti Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN sebanyak RM1,500, Dermasiswa B40 bernilai RM4,800 bagi satu semester serta sumbangan tunai RM500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Program ini turut mendapat kerjasama pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), serta agensi KPT termasuk PTPTN dan YPS.
Dengan misi mendekatkan pendidikan tinggi kepada seluruh rakyat, program ini menjadi bukti komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap anak Malaysia – dari kampung terpencil hingga ke pinggir bandar – berhak melakar masa depan cemerlang.







