KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan kerangka standard retensi dan pemeliharaan data dianggap langkah tepat dalam era digital yang semakin mencabar. Menurut Dr. Haezreena Begum binti Abdul Hamid, Kriminologis dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, akses segera kepada metadata komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi adalah penting untuk menangani jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

Dari perspektif undang-undang, akses ini memastikan bukti diperoleh secara sah, terpelihara dan boleh diterima di mahkamah, sekali gus memperkukuh proses perundangan. Dari sudut kriminologi pula, akses pantas membantu mengenal pasti suspek, mengganggu rangkaian jenayah, serta melindungi mangsa dengan lebih berkesan, khususnya dalam kes yang bergerak pantas.

Dr. Haezreena menegaskan, ketiadaan kerangka yang seragam boleh mengakibatkan kehilangan bukti penting sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses, sekali gus menjejaskan pendakwaan serta membuka ruang kepada penjenayah untuk mengeksploitasi kelemahan sistem. Beliau turut merujuk kepada pengalaman antarabangsa, termasuk Kesatuan Eropah dan Australia, yang membuktikan keberkesanan undang-undang retensi data dalam mempercepatkan siasatan jenayah rentas sempadan serta kes berkaitan keganasan.

Walaupun timbul kebimbangan mengenai privasi, Dr. Haezreena menegaskan bahawa keseimbangan boleh dicapai melalui kawalan ketat seperti akses yang hanya dibenarkan dengan kebenaran kehakiman, had tempoh retensi yang munasabah, serta pemantauan bebas. “Apa yang penting, ia dilaksanakan dengan telus, berlandaskan undang-undang, dan fokus kepada kesalahan serius semata-mata,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk mengambil bahagian dalam sesi rundingan awam anjuran MCMC bagi memastikan suara masyarakat didengari, kebimbangan ditangani, dan kerangka yang digubal benar-benar melindungi keselamatan awam tanpa mengorbankan hak asasi.