CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa 11 Januari 2026.

Menurut kenyataan MCMC, keputusan itu dibuat susulan kegagalan pengendali platform melaksanakan langkah perlindungan yang mencukupi bagi mengekang penjanaan kandungan janaan AI yang melanggar undang-undang negara.

Antara kandungan yang dikenal pasti termasuk kandungan lucah, seksual eksplisit, tidak senonoh melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC memaklumkan notis rasmi telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu bagi menuntut pelaksanaan kawalan teknikal dan penyeliaan kandungan yang berkesan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Walau bagaimanapun, maklum balas yang diterima pada 7 dan 9 Januari didapati hanya tertumpu kepada mekanisme pelaporan oleh pengguna, tanpa langkah pencegahan proaktif yang mampu mengurangkan risiko penyalahgunaan teknologi tersebut.

Menurut MCMC, pendekatan berkenaan tidak mencukupi untuk melindungi kepentingan awam dan mencegah kemudaratan kepada pengguna.

Sehubungan itu, sekatan sementara dikenakan sebagai langkah pencegahan sehingga pihak terlibat dapat membuktikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang Malaysia.

MCMC turut menyeru orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada pihak berkuasa dan membuat laporan polis sekiranya perlu.