KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kerajaan komited menurunkan defisit fiskal negara secara berfasa bagi memastikan jumlah hutang negara terus berkurangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa dalam konteks ekonomi makro, kadar hutang negara akan meningkat sekiranya defisit fiskal kekal tinggi.
“Langkah pengurangan defisit fiskal perlu dilaksanakan secara berperingkat untuk mengelakkan tekanan terhadap ekonomi. Hasilnya, kadar hutang baharu negara menurun daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus menyeimbangkan antara pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat dan pengurusan hutang negara bagi memastikan kestabilan fiskal jangka panjang.
