PUTRAJAYA, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau mengadakan perbincangan telefon dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., berhubung perkembangan terkini rundingan sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Menurut Anwar, perbincangan itu mencatatkan perkembangan positif hasil kesepakatan Menteri Pertahanan kedua-dua negara yang berjiran, sekaligus memperkukuh usaha ke arah mewujudkan kestabilan di rantau ASEAN.

“Langkah ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menjayakan aspirasi ASEAN sebagai sebuah rantau yang damai, stabil dan makmur,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.

Anwar menekankan bahawa kejayaan menyelesaikan isu-isu sempadan di antara negara anggota akan memberi isyarat jelas mengenai kemampuan ASEAN menyelesaikan konflik serantau melalui dialog dan kerjasama erat.

Rundingan antara Kemboja dan Thailand sebelum ini mendapat perhatian negara-negara jiran susulan beberapa insiden yang menimbulkan ketegangan di kawasan sempadan mereka. Usaha diplomasi berterusan ini diharap menjadi asas kepada kerjasama lebih erat, bukan sahaja dalam aspek keselamatan tetapi juga pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.

Anwar turut menyifatkan peranan Malaysia sebagai rakan serantau dalam inisiatif ini sebagai bukti komitmen negara terhadap keamanan ASEAN