KEPUTUSAN kerajaan untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus berbanding pengecualian penuh sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Dekan Institut Lepasan Ijazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi lebih kepada usaha kerajaan untuk menunjukkan keprihatinan terhadap maklum balas rakyat.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pengalaman masa lalu. Setiap tahun, kerajaan membelanjakan kira-kira RM200 juta untuk pengecualian tol sempena lebih daripada 10 perayaan utama.
“Namun, faedah pengecualian penuh hanya terhad kepada pengguna lebuh raya, manakala golongan yang menggunakan motosikal atau jalan alternatif tidak mendapat manfaat yang sama,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemberian diskaun tol ini bertujuan memenuhi keperluan isi rumah yang merancang perjalanan sempena perayaan, tanpa memberikan beban besar kepada kewangan negara.
“Penghapusan tol sepenuhnya hanya melibatkan RM200 juta setahun dan untuk Tahun Baharu Cina 2025 ini, anggaran bantuannya sekitar RM60 hingga RM70 juta sahaja,” jelas beliau yang merupakan pakar ekonomi.
Dr. Barjoyai juga menggesa rakyat agar tidak menyalahkan kerajaan kerana mengubah peraturan ini.
“Ini kerana peraturan berkenaan telah dikaji dan didapati tidak berkesan untuk memberi bantuan dan manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar wang tersebut digunakan untuk inisiatif lain yang lebih bermakna, seperti menambah belanjawan untuk program seperti Menu Rahmah dan Pasar Rahmah yang dapat membantu semua golongan masyarakat.
Menurut Dr. Barjoyai, pemberian diskaun tol atau pengecualian penuh juga tidak relevan untuk pengguna jalan raya yang tidak menggunakan lebuh raya sepanjang tempoh percutian.
“Adalah lebih baik jika RM200 juta ini digunakan untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan seperti subsidi barangan keperluan asas,” tambahnya.
