BERMULA 1 Januari 2017, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melakar sejarah dengan memperkenalkan Akaun Simpanan Syariah sebagai alternatif terhadap Akaun Simpanan Konvensional.

Ia merupakan satu inisiatif yang memberi pilihan kepada pencarum untuk mengurus simpanan persaraan mereka mengikut prinsip pelaburan patuh syariah.

Langkah ini diambil sebagai respons kepada permintaan tinggi dalam kalangan pencarum yang ingin memastikan dana mereka bebas daripada unsur riba, gharar dan maysir, sejajar dengan kehendak muamalat Islam.

Dengan pelaksanaan Simpanan Syariah, KWSP bukan sahaja memperluaskan pilihan kepada pencarum tetapi turut memperkukuh peranan institusi kewangan Islam dalam ekosistem ekonomi negara.

Terbaharu, pembayaran dividen bagi tahun 2024 oleh KWSP mencatat rekod tersendiri apabila nilai kedua-dua akaun simpanan adalah sama iaitu 6.3 peratus.

Menurut Pakar Kewangan dan Muamalat Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, tahun 2024 membawa khabar gembira untuk semua pencarum Simpanan Syariah.

“Ini kerana sejak sekian lama, pencarum yang memilih Simpanan Syariah sering berdepan dilema – adakah keputusan mereka mengutamakan yang halal dan keberkatan berbaloi dari segi pulangan?

“Tahun ini buat pertama kalinya sejak 2017, dividen Simpanan Syariah mencatatkan kadar 6.3 peratus, menyamai dividen bagi Simpanan Konvensional.

“Pastinya, ini satu perkembangan yang menggembirakan dan melegakan mereka yang telah memilih laluan ini sejak awal lagi,” kata Dr. Zaharuddin melalui satu perkongsian di Facebook beliau.

Bagaimanapun, di sebalik isu tersebut, beliau turut mempersoalkan bagi pencarum beragama Islam yang masih berada dalam Simpanan Konvensional, sejauh mana dividen yang diterima itu benar-benar halal?

Jelas beliau, ramai yang tidak menyedari bahawa 61 peratus daripada dividen Simpanan Konvensional tidak patuh syariah.

“Ini kerana dana konvensional dilaburkan dalam sektor yang tidak menepati prinsip Islam, termasuk yang terlibat dengan riba dan aktiviti tidak halal.

“Maknanya, daripada setiap RM10,000 dividen yang diterima, RM6,100 sebenarnya perlu dibersihkan. Baki yang boleh digunakan dengan tenang hanyalah RM2,460.

“Untuk membersihkan wang tersebut, ia boleh disalurkan kepada fakir miskin atau digunakan untuk keperluan awam dengan niat pembersihan, namun tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan peribadi,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, perkara ini bukan isu baharu. Sejak bertahun-tahun lamanya, kadar pembersihan bagi Simpanan Konvensional tetap tinggi iaitu antara 64 peratus hingga 71 peratus.

“Bermakna, tahun demi tahun, sebahagian besar dividen yang diterima oleh pencarum Simpanan Konvensional bukanlah milik mereka sepenuhnya dari sudut syarak.

“Berbeza dengan pencarum Simpanan Syariah, pembersihan tidak diperlukan lagi kerana dana dalam skim ini dijamin bersih, bebas riba dan dilaburkan hanya dalam sektor yang patuh syariah,” tegasnya.

Malah, beliau turut membawakan satu hakikat yang membimbangkan apabila lebih 74 peratus pencarum Muslim masih belum beralih kepada Simpanan Syariah.

“Mungkin ada yang belum sedar tentang perkara ini atau ada juga yang bimbang perubahan tersebut akan merugikan mereka.

“Hakikatnya, peralihan ke Simpanan Shariah tidak akan berlaku secara automatik. Ia perlu dilakukan sendiri oleh pencarum melalui i-Akaun KWSP secara dalam talian.

“Dengan hanya beberapa klik, seseorang boleh memastikan simpanan hari tua mereka terhindar daripada unsur yang syubhah dan tidak halal,” katanya lagi.

Menyedari ramai pencarum Muslim yang mungkin bimbang tidak menerima pulangan yang lebih tinggi, Dr. Zaharuddin menegaskan firman Allah SWT, ayat 28 Surah At-Taubah yang bermaksud:

“Dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Apa yang pasti, keputusan ini bukan sekadar soal angka dalam penyata KWSP. Ia adalah soal mencari reda Allah dan memastikan setiap sen yang kita gunakan benar-benar bersih.