PADA era digital masa kini, persoalan mengenai pengumpulan dan penggunaan data peribadi semakin mencuri perhatian masyarakat.
Isu ini menjadi tumpuan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Program Data Telefon Bimbit (MPD) iaitu satu inisiatif untuk mengumpul metadata bagi menilai prestasi rangkaian mudah alih dan memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap bencana.
Namun, seperti lazimnya dalam isu berkaitan data, reaksi masyarakat bercampur-baur dengan kebimbangan terhadap privasi dan kemungkinan penyalahgunaan maklumat peribadi.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber di Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Selvakumar Manickam mengajak masyarakat untuk melihat isu ini dari sudut yang lebih seimbang.
Menurut beliau, walaupun ramai yang khuatir terhadap pengumpulan data oleh kerajaan, mereka sering mengabaikan bagaimana syarikat teknologi gergasi seperti Meta, Google, Apple dan ByteDance secara aktif memprofilkan pengguna untuk tujuan komersial.
“Platform ini mengumpul data bukan sahaja berdasarkan interaksi asas, tetapi juga tingkah laku, lokasi, rutin harian dan kecenderungan.
Semua ini demi membina empayar berbilion dolar berasaskan pengiklanan bersasar dan pembangunan Kecerdasan Buatan (AI).
“Ironinya, ketika program nasional diserang kerana kononnya ‘mengintai rakyat’, tiada siapa yang mempertikaikan aplikasi percuma yang selama ini menjadi ‘penyedut data’ utama,” jelasnya.
Sementara itu, dalam menjawab kekeliruan masyarakat, Pengerusi APAC IPv6 Council, Profesor Emeritus Dr. Sureswaran Ramadass menegaskan bahawa data yang dikumpul oleh MCMC adalah dalam bentuk agregat dan dianonimkan.
“Tiada nama, nombor telefon, kandungan mesej atau sejarah pelayaran dikumpulkan.
“Data seperti kekuatan isyarat, kod kawasan dan corak penggunaan rangkaian digunakan untuk tujuan teknikal, perancangan 5G dan kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.
Menurut beliau, langkah ini setanding malah jauh lebih selamat berbanding data peribadi yang dikumpul oleh syarikat teknologi antarabangsa.
“Malaysia tidak bersendirian. Negara seperti Korea Selatan, Finland dan Estonia juga menggunakan pendekatan ini bagi meningkatkan kecekapan sistem digital dan respons kecemasan,” katanya lagi.
Apa yang membimbangkan, ujar Dr. Selvakumar ialah ketidakseimbangan persepsi awam.
Program data kebangsaan yang bersifat telus dan mempunyai sempadan undang-undang dipersoal secara agresif, sedangkan manipulasi data oleh platform luar yang tidak bertanggungjawab hampir tidak mendapat perhatian.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengguna hari ini secara sukarela bersetuju dengan terma aplikasi tanpa membaca butiran sekali gus membuka pintu kepada penyalahgunaan data peribadi.
“Kita perlu berani bertanya: mengapa hanya kerajaan dipersoal, tetapi bukan syarikat teknologi yang meraih keuntungan hasil maklumat kita?” soal beliau.
Justeru, kedua-dua pakar bersetuju bahawa asas kepada mana-mana sistem pengumpulan data ialah ketelusan, kawal selia yang ketat dan penglibatan awam.
Suruhanjaya seperti MCMC perlu memastikan piawaian keselamatan data setaraf antarabangsa dilaksanakan dan rakyat diberi kefahaman mengenai peranan data dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan keselamatan siber negara.
“Tanpa pemahaman ini, masyarakat mudah terperangkap dalam naratif ketakutan sekali gus merencatkan usaha negara membina ekosistem digital yang inklusif dan selamat,” tegasnya.
Kesimpulannya, perbahasan mengenai data bukan sekadar soal teknologi, tetapi ia menyentuh nilai amanah, etika dan keperluan menjaga keseimbangan antara privasi individu dan manfaat awam.
Jika data digunakan secara bertanggungjawab untuk mengukuhkan keselamatan dan kemudahan rakyat, ia bukanlah satu bentuk pengawasan sebaliknya satu langkah proaktif ke arah negara digital yang lebih berdaya saing.
Rakyat Malaysia harus melihat gambaran besar: privasi dan keselamatan bukan pilihan yang saling menafikan, tetapi dua komponen yang mesti diurus bersama secara adil, telus dan bijaksana.
