PARIS, 4Julai – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan penuh istiadat dan penghormatan tinggi daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam lawatan rasmi beliau ke Istana Élysée hari ini — satu simbol keakraban hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Perancis yang terus mengukuh.

Ketibaan Anwar disambut secara rasmi di perkarangan istana dengan perbarisan kehormatan dan paluan muzik tentera, menandakan status penting lawatan ini dalam kalendar diplomatik Perancis.

Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai aspek kerjasama strategik termasuk perdagangan, pertahanan, tenaga hijau, pendidikan serta teknologi. Dalam sidang media bersama, Macron menyifatkan Malaysia sebagai “rakan penting Perancis di rantau Asia Tenggara”, sambil menzahirkan komitmen untuk memperluaskan lagi kerjasama rentas sektor.

Anwar pula menegaskan pentingnya pendekatan “diplomasi ekonomi” dalam hubungan antarabangsa Malaysia, serta mengalu-alukan pelaburan Perancis dalam bidang berimpak tinggi termasuk mobiliti elektrik, aeroangkasa dan pendidikan teknikal.

“Hubungan Malaysia–Perancis tidak boleh hanya dilihat dari lensa ekonomi semata-mata. Ia juga berakar dalam nilai-nilai bersama seperti demokrasi, hak asasi dan pembangunan mampan,” ujar beliau.

Lawatan rasmi ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman antara syarikat dan agensi kedua-dua negara, menjurus ke arah pertumbuhan ekonomi bersama yang lebih kukuh dan lestari.

Datuk Seri Anwar dijadualkan menghadiri beberapa sesi rundingan dan majlis bersama komuniti perniagaan Perancis sepanjang lawatan dua harinya di ibu kota Perancis.