Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan operasi mereka berkuat kuasa hari ini, sehingga diberitahu kelak.
Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut menyatakan dalam satu kenyataan bahawa mereka menggantung operasi kerana berdepan pelbagai masalah dan tekanan kewangan didalam syarikat mereka.
Penskrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat perlu dilakukan untuk mencapai kestabilan dalam menangani masalah kewangan yang ada.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata beliau menerusi sumber Berita Harian.
Pihak MYAirline juga menasihatkan penumpang mereka yang terjejas untuk tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak mahu memberi sebarang ulasan tambahan berkenaan ura-ura peralihan pemilikan MYAirline.
“Mereka harus datang kepada kita (jika ada masalah) baru kita lihat apa masalah dan kita akan cuba bantu.
“Kalau ada pertukaran pemegang saham atau sebagainya mereka perlu lapor pada Mavcom tetapi setakat ini tiada, jadi saya tak mahu komen,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.
Pelanggan mereka yang sedang berdepan masalah berkenaan khidmat pengangkutan boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan sokongan.
