Pulau Pinang, 11 Januari 2025 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 22,201 notis ke atas kenderaan perdagangan dalam Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ yang dijalankan di seluruh negara bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan.

YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia telah turun padang meninjau Operasi Bersepadu ‘Gempur Teknikal’ Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Plaza Tol Sungai Dua (Arah Selatan).

Sepanjang operasi tersebut yang dijalankan sejak 25 Disember 2024 sehingga ke hari ini, sebanyak 88,034 kenderaan perdagangan telah diperiksa, 22,201 notis telah dikeluarkan, kenderaan diambil tindakan (9,661) dan 77 buah telah disita.

Pihak JPJ juga telah mengesan hampir 7,000 kenderaan perdagangan dikesan telah melakukan kesalahan teknikal seperti Tidak Selenggara Kenderaan Dengan Baik, Tayar Tidak Mengikut Spesifikasi, Tidak Jaga Tayar Dengan Baik / Haus Berlebihan.

Menerusi Ops Khas PUSPAKOM, pihak JPJ telah memeriksa 37 PUSPAKOM di seluruh negara dan hasil daripada pemeriksaan ke atas 4,945 kenderaan, 1,093 telah diambil tindakan, 21 di sita dan notis kesalahan sebanyak 1,640 dikeluarkan.

JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

Turut serta dalam Ops tersebut, YBhg. Dato’ Mohamed Irwan bin Mansor, Setiausaha Bahagian Darat MOT, YBrs. Tuan Muhammad Kifli bin Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia dan YBrs. Tuan Zulkifly bin Ismail, Pengarah JPJ Negeri Pulau Pinang.

Sumber : Jabatan Pengangkutan Jalan