11 Julai – Kuala Lumpur: Ketika negara sedang bersiap siaga menghadapi cabaran besar termasuk tekanan geopolitik dan perdagangan antarabangsa, gesaan pembangkang agar Perdana Menteri mengambil cuti atas isu kehakiman disifatkan sebagai langkah tidak produktif serta bernada politik semata-mata.
Malaysia kini berada di ambang pelbagai agenda penting negara. Sidang Kemuncak ASEAN peringkat Menteri Luar sedang berlangsung, manakala persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan sedang giat dijalankan – acara yang dijangka menghimpunkan pemimpin utama dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat.
Lebih signifikan, Kerajaan juga bakal membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bulan depan – satu pelan pembangunan penting yang akan merangka masa depan ekonomi negara. Dalam suasana sebegini, tumpuan Perdana Menteri dan barisan kepimpinan sepatutnya difokuskan kepada tanggungjawab negara, bukannya melayan tuntutan politik yang berulang-ulang tanpa asas kukuh.
Gesaan pembangkang untuk menggantung tugas Perdana Menteri dilihat sebagai satu cubaan mengalihkan perhatian awam daripada isu sebenar, sedangkan tiada bukti konkrit dikemukakan yang menunjukkan wujudnya campur tangan eksekutif dalam urusan pelantikan kehakiman.
Beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan dijangka tampil memberikan respons terhadap kenyataan pembangkang dan tindakan kontroversi pihak tertentu termasuk Badan Peguam. Seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan menyatakan bahawa “gesaan tersebut adalah tidak masuk akal dan memperlihatkan ketandusan isu di pihak pembangkang”.
“Mereka cuba membina naratif seolah-olah berlaku krisis institusi, padahal semuanya masih berfungsi dalam ruang lingkup Perlembagaan. Jika ada bukti, bawa ke mahkamah. Jangan buat tuduhan rambang,” ujarnya.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Lateefa Koya turut mengundang perhatian apabila mengeluarkan kenyataan yang menyentuh soal integriti pelantikan hakim. Walaupun beliau mempunyai hak untuk bersuara, beberapa pihak mempersoalkan asas dan sumber kenyataan tersebut.
“Lateefa tidak seharusnya membuat kenyataan berdasarkan dakwaan sebelah pihak. PM telah beberapa kali menjelaskan bahawa tidak wujud sebarang campur tangan. Jika ada bukti, tampilkan secara rasmi, bukan hanya ulasan yang tidak berlandaskan fakta,” kata seorang lagi pemimpin kerajaan.
Dalam pada itu, isu berkaitan titah addendum kini sedang dalam prosiding mahkamah. Sehubungan itu, semua pihak disaran untuk berhati-hati dan tidak membuat spekulasi yang boleh memprejudiskan perjalanan kes.
Seorang pakar undang-undang yang dihubungi menyarankan agar masyarakat dan ahli politik memberikan ruang kepada mahkamah untuk membuat keputusan tanpa sebarang tekanan awam.
“Sebaiknya, jangan ulas panjang isu ini buat masa sekarang. Fokus harus diberikan kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Pada masa sama, isu tahanan rumah kembali menjadi tumpuan. Menteri Dalam Negeri sebelum ini menyatakan komitmen Kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah bagi banduan tertentu – satu langkah yang akan menjadikan sistem keadilan negara lebih moden dan berperikemanusiaan.
Ketika ini, Malaysia masih belum mempunyai kerangka perundangan jelas untuk menguatkuasakan bentuk tahanan sedemikian.
Menurut penganalisis jenayah, Malaysia wajar mencontohi negara-negara seperti Korea Selatan dan Itali yang telah melaksanakan undang-undang tahanan rumah secara sistematik.
“Undang-undang ini mesti dibahaskan dan diluluskan di Parlimen. Ia tidak boleh dilaksanakan hanya berdasarkan budi bicara mana-mana pihak tanpa peruntukan yang sah,” jelas beliau.
