Piala Asia

DOHA, QATAR – Berbaki lagi beberapa jam dan pasukan kebangsaan Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia edisi 2023 dengan menentang pasukan Jordan di Stadium Al-Janoub untuk saingan kumpulan E pada pukul 1.30 pagi esok waktu Malaysia.

Kemarau 43 tahun skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit akhirnya terhenti juga pada tahun lepas selepas skuad bimbingan Kim Pan Gon berjaya menundukkan Bangladesh 4 berbalas 1 sekaligus melayakkan mereka ke Piala Asia pada edisi kali ini.

Mengikut sejarah, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit ialah pada tahun 1980 tetapi kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada 2007 kerana Malaysia mendapat tiket tuan rumah pada edisi tahun tersebut.

Tambahan pula, anak buah Kim Pan Gon itu berada dalam keadaan prestasi terbaik dan bersemangat, berdasarkan 5 perlawanan yang lalu merekodkan 3 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan.

Kekalahan itu direkodkan sewaktu menentang Tajikistan pada final Pestabola Merdeka tempoh hari. -LIHAT DISINI

Di peringkat kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pula, Malaysia menunjukkan rekod yang baik dengan mengungguli tempat pertama dalam Kumpulan D, selepas memenangi perlawanan menentang Chinese Taipei dan Republik Krygyz.

Cabaran selepas cabaran yang akan hadir untuk Malaysia pada Piala Asia edisi 2023 ini kerana Malaysia boleh dikatakan berada dalam kumpulan agak kuat seperti Jordan yang menduduki kedudukan ke-87 dunia, Bahrain berada satu kedudukan diatas Jordan iaitu ke-86 dan gergasi Asia Korea Selatan yang bukan sahaja mempunyai kedudukan tinggi iaitu ke-23 dunia malah mereka pernah menjuarai Piala Asia sebanyak dua kali pada edisi 1956 dan 1960.

Malah, mereka juga berkemungkinan besar akan berdepan dengan pemain yang memiliki pengalaman beraksi bersama Selangor di Liga Malaysia, Yazan Al Arab dan Noor Al Rawabdeh.

Barisan pertahanan Harimau Malaya pula dilihat harus berwaspada dengan mesin gol Jordan, Yazan Al Naimat dan Hamza Al Dardour yang bakal menjadi taruhan utama pengendali skuad itu, Hussein Ammouta.

Penyokong Harimau Malaya di Doha, Qatar

Semangat penyokong Harimau Malaya di Doha, Qatar tidak boleh disangkal lagi apabila kita dilihatkan dengan puluhan penyokong Malaysia berada di Souq Waqif memeriahkan suasana.

Nyanyian dan paluan kompang memenuhi bunyi-bunyian sokongan di sana dan lebih menarik lagi sambutan itu diikuti juga oleh beberapa penyokong negara lain untuk memberi semangat bersama.

Program itu dijayakan menerusi kolaborasi antara Kelab Kompang Qatar dan ‘Malaysian Association of Qatar’ sempena penyertaan skuad bola sepak kebangsaan di pentas Piala Asia 2023.

Sama-sama kita menyokong skuad pasukan kebangsaan kita untuk mengharumkan nama tanah air di persada dunia bermula esok pagi.

SUMBER : BERITA HARIAN

SUMBER : BERITA HARIAN 1, BERITA HARIAN 2, FAMALAYSIA

Comments are closed.