Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagai Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk mempermudahkan dan membantu meningkatkan aktiviti perniagaan dalam negara sekaligus menyokong pelaburan langsung domestik.
Tambahan itu, kabinet juga fokus untuk menumpu mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dengan meluluskan aktiviti perniagaan dengan mudah termasuklah permohonan berkaitan ekspatriat yang berkemahiran, dimana ia usaha menggalakkan pertumbuhan domestik.
“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Semalam, Anwar telah mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan juga ahli ekonomi beuhubung langkah-langkah bagi mengukuhkan pemacuan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.
Sesi dialog berkenaan dihadiri oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.
Dalam pertemuan itu, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telahpun membuahkan hasil walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Menurutnya,
Malaysia mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).
Jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.
“Ia disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely / Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.
“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar,” ujarnya.
Selain itu, Anwar juga menekankan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola sekaligus menegakkan keadilan sosial untuk rakyat, selaras dengan visi Malaysia MADANI.
Beliau turut menjelaskan dimana dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihurai dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).
Justeru, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.
Orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan, tambahnya.
– BERNAMA
