———————————————————————
OLEH:
YB DATO’ SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
PENGERUSI
PERBADANAN PEMBANGUNAN PERDAGANGAN LUAR MALAYSIA
———————————————————————
1. Daya usaha kerajaan untuk melaksanakan sebuah kongres, khusus untuk membincangkan masa hadapan ekonomi Bumiputera, pada ketika keadaan ekonomi Negara masih belum berada di tahapnya yang terbaik, wajar diberikan pujian.
2. Ini sebenarnya terjemahan keberanian pimpinan utama kerajaan, khususnya YAB Perdana Menteri dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, untuk berhadapan dengan rakyat secara berdepan dan tidak berselindung di sebalik cuitan telinga (sound bites) yang dirangka-rangka oleh kumpulan dan pihak tertentu.
3. Bukan tugas kerajaan untuk sentiasa mendengar cerita yang molek dan senonoh pada setiap masa. Menjadi pemimpin dan kerajaan, memberi erti bahawa kita bersedia untuk menerima pandangan secara yang ikhlas dan terbuka. Kerajaan MADANI, pada hemat penulis, bukan kumpulan yang diibaratkan ‘ditanam tebu di telinga, berkembang bunga raya dimuka; bagai bajak wangkang makan diangkat’. Sentiasa mahu dipuji dan dilambung.
4. Dalam banyak situasi dan keadaan, Kerajaan sangat terbuka menerima pandangan dan kritikan. Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang diterajui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di samping YB Menteri Ekonomi selaku Pengerusi melalui dua kementerian strategik iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Ekonomi, sebenarnya terbuka menerima pandangan dan kritikan. Rakyat boleh mengemukakan apa sahaja pandangan – tanpa ada sebarang tapisan.
5. Penulis sebenarnya pernah menerajui Biro Ekonomi, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada suatu ketika. Bila bercakap tentang ekonomi Bumiputera, banyak perkara yang kita suarakan. Pada waktu dan tempoh itu, antara perkara yang hangat diperkatakan adalah soal kemampuan peniaga Melayu/Bumiputera tangkas bersaing di ruang ekonomi yang berkelas tinggi.
6. Masih ingat bagaimana kami begitu sukar berhadapan dengan pengurus-pengurus premis perniagaan utama di Kuala Lumpur – bagi mendapatkan sedikit ruang dan akses kepada peniaga Melayu/Bumiputera. Hatta premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) sekalipun; diurus oleh teknokrat asing yang tidak mempunyai sebarang keperluan mendahulukan peniaga Melayu/Bumiputera.
7. Sebab itu, sebenarnya langkah ‘3P’ (penyertaan, pemilikan dan penguasaan) yang disebutkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri itu sememangnya wajar, relevan dan tepat.
8. Apa yang perlu diperkukuhkan adalah membuka ruang serta peluang penyertaan yang lebih strategik kepada pemain ekonomi Melayu/Bumiputera bagi membolehkan pemilikan dan penguasaan yang benar-benar signifikan.
9. Malah, di antara ketiga-tiga elemen itu, elemen Pembangunan juga perlu diambil kira untuk menyediakan pemain ekonomi Melayu/Bumiputera yang punya kapasiti dan juga kebolehan untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan terbang sama laju dengan yang lain.
10. Bukan itu sahaja, sumber kekayaan juga perlu dilihat dalam konteks perdagangan luar – menjadi pemain eksport di peringkat global. Gelanggangnya lebih luas untuk kita berpencak silat. Ada yang bertanya “mampukah”? Penulis fikir tidak ada sebab untuk kita bertanya “mampukah” kerana soalan yang lebih tepat adalah “bagaimanakah”.
11. Untuk menjawab persoalan itu, peluang penyertaan dan pembangunan merupakan ikhtiar ampuh untuk kita bersiap meneroka pasaran yang lebih luas untuk penciptaan kekayaan. Tidak hanya tertumpu kepada kek ekonomi yang berputar di kalangan 32 juta rakyat sahaja.
12. Kita keluar untuk berdagang di luar kerana itulah resmi nenek moyang kita dahulu. Meneroka pasaran-pasaran baharu, mencari rakan strategik serantau, dan meluaskan cakupan produk dan perkhidmatan kita kepada pasaran dunia yang lebih luas.
Perubahan Realiti Ekonomi
13. Ikhtiar juang ekonomi sebenarnya perlu seiring dengan zaman. Barangkali apa yang Pemuda UMNO perjuangkan pada masa itu sudah kurang penting untuk hari ini. Ekonomi MADANI – sudah perlu memperjuangkan masa hadapan ekonomi Melayu/Bumiputera dalam getar niatnya yang serba baru.
14. Apa ruang ekonomi yang menjadi trend semasa dunia pada ketika ini? Berteraskan kepada indek jangkaan masa hadapan, ‘Future Possibilities Index 2024’, terdapat enam (6) sektor ekonomi kekayaan global masa hadapan ;
i.Exabytes Economy: berteraskan internet benda (IoT), kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan data raya (big data);
ii. Wellbeing Economy: kesihatan, kecantikan dan motivasi;
iii. Net Zero Economy: ekonomi berteraskan pelepasan sifar;
iv. Circular Economy: ekonomi kitaran
v. Bio growth Economy: bio-bahan, loji penapis biologi, pertanian;
vi. Experience Economy: yang berteraskan pelancongan;
15. Justeru, pemetaan ekonomi masa hadapan Melayu/Bumiputera mesti seiring dengan sumber kekayaan baru dunia. Kerajaan MADANI tidak boleh lewat dalam mengenal pasti kekuatan dan potensi ekonomi baru – sekaligus membina kekuatan ekonomi bersesuaian.
16. Bermakna, tumpuan perlu berubah daripada ‘penguasaan’ (kebiasaannya dengan data peratusan yang longgar) kepada soal “penyertaan sebenar” (real parcticipation) oleh pemain ekonomi baru. Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan pemain ekonomi yang sama dan konglomerat yang dipayungi keistimewaan yang berdekad lamanya.
Neraca Nilaian Baru
17. Selain daripada itu, neraca dan mizan nilaian perekenomian Melayu/Bumiputera sudah perlu kita tafsirkan semula. Selain daripada milikan perniagaan, elok juga kemampuan ekonomi Bumiputera dinilai dalam bentuk peratusan pampasan pekerja (compensation of employee, CE) kepada KDNK negara.
18. Daripada keseluruhan data CE – berapa peratus sebenarnya masuk terus ke poket Melayu/Bumiputera? Dengan keadaan ekonomi yang menduga, aspek kemampuan kuasa beli harian (daily purchasing power) juga jangan kita pinggirkan. Jurang ini juga perlu ditangani dan dilihat segera oleh Kerajaan.
19. Penulis ingin mencadangkan agar Kementerian Ekonomi turut mencerakin Anggaran Peruntukan Mengurus Belanjawan 2024 (RM303.80 bilion), bagi menerangkan kepada rakyat aspek penerima sebenar kepada ikhtiar bersungguh Kerajaan menjaga kepentingan semua kaum.
20. Jika berasaskan Agihan Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2024 (Sektor Sosial) sekalipun, kita tahu ia akan melihat aspek keadilan sosial secara menyeluruh. Sifir mudah MADANI adalah kita berlaku adil kepada semua, tanpa mengira ras dan kaum. Namun, angka penerima sebenar pastinya masih memihak kepada Melayu/Bumiputera dan ini merupakan keadilan sosial yang diterima semua.
21. Kaum Melayu/Bumiputera perlu ada sedikit keyakinan, bahawa kerajaan melihat aspek perekonomian ini secara yang menyeluruh. Kita tidak bermula di titik sifar. Kekuatan asasnya sudah ada. Yang perlu diperkukuh adalah modal insan masa hadapan yang berani bersaing secara terbuka.
22. Menstruktur semula asas ekonomi bukannya kerja mudah dan siap dalam tempoh setahun dua. Kerajaan MADANI perlu diberikan ruang untuk bernafas dan membuka hayunan langkah yang berani dan tepat. Dalam pada itu, kita tidak perlukan kumpulan ‘bajak wangkang’; pandir yang terlalu yakin dengan kebijakan sendiri. Ibaratnya, ‘lemak manis pada dialah, pahit maung pada orang’; kita laksanakan sahaja kerja dengan sebaiknya.
#MATRADE
#BertamKita
#DemiKepalaBatas
#KepalaBatasDiHatiKu
SUMBER : FACEBOOK
