RIYADH – Pada 20 Oktober yang lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadirkan diri dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Riyadh, Arab Saudi yang dihadiri oleh 18 wakil dari pelbagai negara.

Di sidang kemuncak ini, beliau ada menyatakan di laman web rasmi Facebook beliau bahawa “Hal Palestin ternyata menjadi tumpuan utama tatkala persidangan ini diadakan semasa Palestin, terutamanya Semenanjung Gaza terus dibedil tanpa henti dan meletakkan kedudukan hak, harta dan nyawa warga Palestin semakin terancam.

Menyekat akses kepada keperluan asas ternyata memburukkan keadaan.” tambahnya lagi.

Anwar mengecam teruk perbuatan negara Haram Israel tersebut dengan serangan yang dilakukan oleh mereka sejak dari 75 tahun yang lalu sehinggalah kini.

Berikutan dari sidang kemuncak tersebut, beliau turut menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia di Arab Saudi dan terus bersuara tentang pembelaan Tanah Suci Palestin.

Menurut beliau, usaha Malaysia sebagai satu negara kecil yang ingin menegakkan keadilan dan nilai kemanusiaan tidak boleh dipandang remeh.

Beliau tegas dalam menyatakan bahawa isu tersebut tidak boleh selesai jika kita hanya mempersoalkan isu kemanusiaan sahaja, manakala isu keadilan terhadap rakyat Palestin tidak diketengahkan.

“Konflik Palestin dan kekejaman berterusan Israel yang berlarutan lebih tujuh dekad bukan soal sentimen kaum, agama atau kaum Arab.

“Ini hak rakyat Palestin apabila tanah air, harta benda, maruah dan martabat mereka dirampas serta dihina. Di manakah nilai kemanusiaan kita,” ujar beliau dalam Majlis Ramah Mesra tersebut.

Beliau juga melunaskan hasrat ingin bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi untuk meneruskan usaha mereka membantu rakyat Palestin dan mencari solusi untuk masalah yang melanda rakyat Palestin.

Dalam Majlis Ramah Mesra tersebut, seramai 300 pelajar dan pekerja yang bekerja dan belajar di Arab Saudi hadir untuk memeriahkan majlis.

Turut terlibat adalah kehadiran Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.