KUALA LUMPUR, 31 Jul – Malaysia dijangka mengumumkan perjanjian penting dengan Amerika Syarikat (AS) selewat-lewatnya esok, yang bakal menyaksikan kadar tarif eksport produk tempatan ke negara itu dikurangkan kepada maksimum 20 peratus, malah boleh serendah 15 peratus.

Perkembangan ini hadir selepas perbualan telefon antara Presiden AS, Donald Trump, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada jam 6.50 pagi tadi. Perbincangan tersebut berlangsung sehari sebelum tarikh akhir penguatkuasaan tarif 25 peratus terhadap eksport Malaysia ke AS.

Menurut laporan The Straits Times, Malaysia bersetuju menyelesaikan beberapa isu tertunggak termasuk pengiktirafan pensijilan halal oleh pihak berkuasa AS serta penawaran bekalan nadir bumi – mineral kritikal yang diperlukan untuk teknologi canggih dan industri pertahanan.

Jika dimuktamadkan, langkah ini dijangka meningkatkan daya saing eksport Malaysia di pasaran Amerika, sekali gus memberi kelegaan kepada industri elektronik, perabot, dan sektor halal tempatan. Penganalisis ekonomi menjangka pengumuman rasmi akan dibuat esok, berpotensi membuka lembaran baharu dalam hubungan dagangan Malaysia-AS.