Mawla

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, telah mengingatkan orang ramai mengenai bahaya taasub yang melampau berikutan isu kontroversi seorang lelaki yang mendakwa sebagai warga Maghribi dan memiliki jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Beliau menyatakan bahawa sikap taasub yang berlebihan dalam sesuatu perkara adalah sesuatu yang berpotensi merugikan diri sendiri dan masyarakat secara keseluruhan. Ketaasuban, menurutnya, boleh menyebabkan individu mudah terpengaruh dengan dakwaan tertentu yang mungkin tidak berasas.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengikuti perkembangan isu ini berdasarkan laporan media tempatan, khususnya laporan Harian Metro bertajuk ‘Eksploitasi Nasab Suci Nabi’ pada 20 Februari 2024.

Jabatan tersebut, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam, terutama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyiasat dakwaan yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

“Semua pihak dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan urusan pentauliahan pendakwah, memastikan setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam. Kami juga menyeru agar semua pihak berpegang kepada neraca ilmu dan fakta, serta menjauhi diri dari sikap taasub,” katanya dalam satu kenyataan.

SIAPA ITU “MAWLA AMIN” ?

Sebelum ini, media melaporkan bahawa PDRM sedang memantau aktiviti seorang lelaki yang mengaku sebagai warga Maghribi dan mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Lelaki tersebut, dikenali sebagai ‘Mawla Amin’, turut menjadi tumpuan media kerana dakwaannya.

Pihak berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

Surat daripada Kerajaan Morocco kepada Kedutaan Malaysia tentang Maula AminSumber : (@MusytaqAshari) di Platform X

Selain itu, seorang mudir madrasah di Selangor yang dikatakan mempromosikan ‘Mawla Amin’ didakwa mengutip dana awam secara tidak sah dan cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

SUMBER : BERITA HARIAN