KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap penyebaran beberapa video berunsur fitnah serta hasutan yang tular di media sosial membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima laporan rasmi daripada TH berhubung perkara itu sebelum tindakan segera diambil.
“Laporan telah diterima dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Individu yang dikenal pasti menyebarkan fitnah ini akan diambil tindakan mengikut saluran undang-undang.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat di media sosial. Katanya, sebarang kandungan berunsur fitnah bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi penting negara, malah mampu menggugat ketenteraman awam.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan kebimbangan masyarakat melalui berita palsu atau fitnah,” tegasnya.
MCMC dalam kenyataan berasingan mengingatkan pengguna media sosial bahawa setiap kandungan yang disiarkan perlu berlandaskan fakta sahih dan tidak melanggar undang-undang. Tindakan pantas diambil bagi membendung penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
