KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah bertitah bahawa mercu tanda baharu itu akan menjadi simbol rakyat meraikan kepelbagaian negara kita sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka.
“Dari sudut mana sekalipun kita melihat menara ini, ia memberi cerminan bagaimana negara kita telah melalui peredaran zaman sehingga akhirnya maju jaya dalam pelbagai bidang dengan struktur sosial dan nilai perpaduan menurut acuan kita yang tersendiri.”
“Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya berasa bangga kerana Menara Merdeka 118 ini adalah bukti kejayaan Malaysia yang berterusan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Menara Merdeka 118, semalam.
Dalam masa yang sama, Al-Sultan Abdullah berkenan merasmi dan memasyhurkan Masjid Al-Sultan Abdullah yang merupakan masjid utama di Kompleks Menara Merdeka 118 serta menzahirkan ucapan terima kasih kerana menamakan nama masjid tersebut dengan nama baginda.
“Ia adalah satu tanda ingatan dan hadiah yang sungguh berharga kepada beta dan Raja Permaisuri Agong yang akan kami hargai selagi nyawa di kandung badan,” titah baginda.
Tambahan lagi, baginda mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjadikan pembinaan Menara Merdeka 118 satu kenyataan.
PNB juga diberi keyakinan dan kepercayaan sebagai institusi pelaburan utama negara yang akan terus melangkah maju dalam memperkasakan ekonomi negara, ujar baginda.
“Marilah sama-sama kita berdoa semoga eknomi negara akan terus berkembang maju dan keamanan serta kesejahteraan akan terus berkekalan buat negara Malaysia yang kita cintai ini” titah baginda.
PERASMIAN MENARA MERDEKA 118
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah berjaya merasmikan Menara Merdeka 118 semalam.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Menara Merdeka 118 tersebut dimiliki PNB melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Menara canggih yang mempunyai 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai (828 meter).
Menara kedua tertinggi di dunia itu telah direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia struktur itu termasuklah puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).
Sebelum wujudnya Menara Merdeka 118, Shanghai Tower merupakan menara kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian (632 meter)


