DATUK_SERI_ANWAR_IBRAHIM

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepesatan dunia digital terutamanya media sosial, sedikit sebanyak beri impak kepada golongan anak muda kerana melunturkan minat dalam menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya penting.

Perdana Menteri, berkata membaca haruslah dijadikan satu budaya dalam mengangkat nilai dan akhlak sebuah bangsa terutamanya untuk golong muda.

“Anak muda hendaklah menjadikan budaya membaca ini sebagai satu amalan bukan saja untuk mencari ilmu, tetapi perbaiki sahsiah diri.

“Malaysia dan (kerajaan) Malaysia Madani ini tidak mungkin terangkat tanpa akhlak dan nilai serta kesediaan anak-anak muda untuk membudayakan ilmu dengan pembacaan yang meluas.

“Sementara ada media sosial.. ok saya tak pertikai kewujudannya, tapi percayalah bahawa manusia yang ada akhlak dan ilmu mesti dia mula dengan tradisi membaca secara serius.

“Kalau mahu angkat martabat negara ini caranya bagaimana? membaca,” katanya berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

PBAKL 2023 telah mendapat sambutan yang amat menggalakan dengan penyertaan sebanyak 211 buah syarikat dan penerbit dari dalam dan juga luar negara.

Anwar berkata, anak muda diingatkan untuk menjadikan amalan membaca supaya tidak mudah terikut dengan dakyah yang suka menabur budaya kebencian dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

“Justeru, jangan ambil ringan. Ini bukan pesta biasa, ucapan saya hari ini adalah ucapan merayu pemikiran anak muda, ubahlah dan mulakan budaya baru iaitu budaya membaca bersungguh-sungguh.

“Walaupun saudara tahu bila kita berikan bantuan e-Wallet dan dana buku kepada mahasiswa, itu juga menggalakkan membaca dan menghidupkan penerbitan buku dalam pelbagai bahasa. Bahasa Melayu, Cina, Tamil, Arab dan Perancis.

“Saya mahu pesan, mulakan satu tradisi baik dikalangan anak muda. Mesti tanam semangat dan minat untuk membaca serta menilai orang selain dari akhlak dan ilmu adalah dengan minatnya untuk membaca,” katanya.