Masjid dijadikan pangkalan ibadah dan pusat ilmu

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi masjid di negara ini menjadi pangkalan ibadah dan pusat ilmu, sekali gus mengangkat martabat dan darjat umat Islam.

Perdana Menteri berkata, ia juga adalah maksud sebenar dan asas sebuah negara Madani, iaitu meletakkan semua dasar, termasuk pendidikan dan ekonomi dengan semangat ihsan, berakhlak serta amanah. Usaha itu termasuklah menjadikan masjid sebagai penentu kepada dasar pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata, matlamat itu perlu disulami bersama dengan semangat ihsan dan rahmah bagi mengangkat martabat negara.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, umat Islam juga harus menyantuni rakan bukan Islam sebagai keluarga yang boleh hidup bersama-sama secara aman dan penuh hikmah.

“Semangat nilai yang dipupuk akhlak yang ditekankan dan ihsan dan rahmah itu akan jadikan Malaysia ini negara yang berpaut kepada Islam dan cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh secara aman mengangkat martabat, darjat dan harakat,” katanya

“Kita cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh bersama-sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat martabat, darjat, harakat umat dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, di sini malam ini.

Program dianjurkan bersama Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dihadiri lebih 20,000 jemaah yang mula memenuhi pekarangan masjid sejak jam 6 petang.

Majlis Ilmu Madani menampilkan dua tokoh ulama besar dunia Islam, iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengasas serta Pengetua Darul Musthafa di Yaman, Habib Umar bin Hafidz.

Perdana Menteri berkata, majlis ilmu berkenaan adalah peluang untuk mendengar kupasan dua tokoh ulama besar yang penuh hikmah dan bijaksana.

“Ini kerana pandangan mereka itu penuh dengan ilmu, penuh asas al-Quran dan hadis serta pengajaran daripada ulama-ulama Islam.

“Ini menjadikan mereka ini sebagai ikon kepada umat yang boleh mendalami agama berdasarkan ilmu yang ikhlas dan semangat juang yang kental,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN