SHAH ALAM – Pelaksanaan pelesenan operasi media sosial yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025 membawa dimensi baharu dalam dunia digital negara.

Ia bertujuan memastikan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, semua penyedia perkhidmatan media sosial serta pesanan internet dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia diwajibkan mendapatkan lesen untuk beroperasi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan memberitahu, objektif utama inisiatif itu adalah untuk membanteras jenayah siber yang semakin meningkat.

Ia termasuklah penipuan, judi atas talian, buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, mengalu-alukan pelaksanaan ini sebagai langkah kritikal dalam menangani cabaran keselamatan digital.

“Akta ini adalah benteng perlindungan bagi rakyat Malaysia terhadap ancaman siber. Semua pihak, termasuk individu, organisasi dan penyedia perkhidmatan, harus menyokongnya demi keberkesanan pelaksanaan ini,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan masyarakat untuk melaporkan kandungan melanggar undang-undang seperti iklan judi, penipuan, buli siber dan bahan berunsur pornografi atau pedofilia.

“Kesedaran awam amat penting dalam melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Ini selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan digital rakyat,” tambahnya.

Namun, Siraj menekankan cabaran seperti prosedur penguatkuasaan yang perlu dijelaskan, termasuk peranan MCMC dan pihak polis dalam menerima dan memproses aduan.

Beliau juga mencadangkan agar statistik jenayah siber diterbitkan secara berkala oleh MCMC untuk menilai keberkesanan akta ini.

“Jika statistik jenayah siber menunjukkan penurunan, rakyat pasti lebih yakin dengan langkah ini. Sebaliknya, jika jenayah terus meningkat, akta ini perlu diteliti semula,” jelasnya.