PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, soalan-soalan yang dirujuk oleh Perdana Menteri kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan menentukan kebolehlaksanaan sesuatu undang-undang terhadap individu tertentu, sebaliknya berkaitan isu perlembagaan yang baharu dan belum pernah diputuskan.

AGC dalam satu kenyataan kelmarin menjelaskan bahawa permohonan itu dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, melibatkan persoalan-persoalan penting berhubung struktur tadbir urus negara.

“Isu-isu yang dirujuk antara lain berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi Eksekutif dengan berkesan.

“Tiga persoalan utama yang dikemukakan ialah sama ada tindakan sivil berkaitan pentadbiran boleh menjejaskan kewajaran atau keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir dan tafsiran Perlembagaan secara implisit memberi makna terhadap semakan kehakiman dalam kes-kes tertentu. 

“Selain itu, ia turut menyentuh sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan prosedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi,” kata kenyataan itu. 

AGC turut menegaskan bahawa ia menghormati integriti mekanisme perlembagaan dan tidak akan menilai sebarang permintaan campur tangan berdasarkan sentimen politik.

“Sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan,” menurut kenyataan itu lagi.