KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan berkenaan Malaysia enggan menghantar bantuan pasukan tentera ke Palestin ikutan konflik peperangan di negara Timur Tengah itu.

Beliau berkata, sebarang tindakan untuk menghantar tentera Malaysia ke Palestin sebagai bantuan, temasuk bagi menjalankan misi pendamaian atau keamanan atau koridor kemanusiaan perlu disepakati oleh negara-negara jiran terlebih dahulu.

“Ada yang di Malaysia menyatakan bahawa kita enggan hantar pasukan tentera. Pimpinan tentera minta saya sampaikan adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan dalam penyampaian mesej mereka, dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.

“Ini bukan keputusan kita boleh hantar (bantuan tentera ke Palestin) dengan mudah. Jadi saya minta harus ada kefahaman, jangan kelirukan rakyat,” jelas Anwar.

Justeru, Perdana Menteri turut meminta agar semua rakyat dan komuniti ummah untuk bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Sementara itu, Anwar berkata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan berlepas ke Jeddah pada malam ini atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Perdana Menteri, Mohammed bin Salman bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mesyuarat tergempar OIC.

Pada masa yang sama, Anwar berkata beliau turut akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Khamis ini, untuk berbincang secara khusus berkenaan tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel terhadap Palestin.

“Putera Mohammed menghubungi saya beberapa hari lalu, meminta saya untuk sambung sehari lagi pada 21 Oktober untuk mengadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

“Saya akan berbincang dengan beberapa teman lain, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Qatar, Mesir, dan Turkiye sama ada perlu diadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin-pemimpin negara lain,” jelas beliau di dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya lagi, Zambry telah diberikan mandat penuh untuk berbincang dan mengambil apa jua keputusan bagi menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin oleh disebabkan tindakan Israel yang telah menyekat sumber asas atau bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau juga memberi jaminan untuk terus bersama dengan mana-mana negara yang menunjukkan solidariti dan simpati terhadap Palestin.

“Pendirian kita adalah jelas, politik di Palestin ialah Politics of Disposession. Tanah, harta benda mereka telah dirampas dan kita mesti kembalikan hak mereka ke atas tanah air mereka.

“Saya juga ingi menyatakan bahawa sudah sampai ketikanya kerajaan Malaysia dengan hubungan yang diberikan, akan bersama dengan rakan-rakan untuk melakukan apa saja yang perlu,” kata beliau.

Anwar turut memaklumkan Malaysia pada dasarnya mempunyai hubungan dengan Hamas selepas mereka memenangi pilihan raya bebas dan tidak bersetuju dengan keputusan Eropah untuk terus menekan Hamas.

Tambah beliau, kerajaan pada ketika ini telah menyumbang sebanyak RM10 juta bantuan awal kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin.

“Insya-Allah hari Khamis ini, sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, sebanyak RM100 juta (tambahan daripada beberapa GLC) yang akan disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung perikemanusiaan dan perubatan,” kata beliau di dalam Dewan Rakyat pada petang Isnin.

Lihat video penuh ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, petang semalam.

Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pendirian Malaysia mengenai konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat, petang Isnin.

Sumber: BERNAMA, UbahTV