Tawau – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak atau PRIME sebagai inisiatif baharu memastikan kesinambungan komunikasi, khususnya ketika bencana dan kecemasan.
PRIME berfungsi sebagai pusat komunikasi bergerak yang menggabungkan teknologi satelit, rangkaian selular, radio dua-hala, hotspot Wi-Fi serta penggunaan dron bagi memperluaskan liputan. Dengan gabungan ini, PRIME mampu menyediakan rangkaian sementara di kawasan terjejas, sekali gus menyokong operasi penyelamat, penguatkuasaan serta penyampaian maklumat sahih kepada masyarakat.
Menurut MCMC, kehadiran PRIME bukan sahaja membantu ketika krisis, tetapi juga dimanfaatkan untuk program literasi digital luar bandar, menyokong pusat komuniti digital NADI serta meningkatkan keberkesanan komunikasi semasa acara berskala besar.
Setakat ini, sebuah unit PRIME telah dilancarkan di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit dijangka beroperasi di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2025. Antara agensi yang akan memanfaatkan fasiliti ini termasuk NADMA, PDRM, Bomba, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi kerajaan negeri dan daerah.
Dengan adanya PRIME, Malaysia kini lebih bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan, memastikan tiada jurang komunikasi wujud di kawasan kritikal. Infrastruktur ini dijangka memperkukuh kesiapsiagaan negara serta mempercepatkan tindakan menyelamat nyawa dan harta benda.
Maklumat lanjut mengenai PRIME boleh diperoleh di laman web rasmi MCMC, emel aduan@mcmc.gov.my atau talian pusat panggilan 1800-188-030.
