CYBERJAYA, 6 Sept – Taktik licik sindiket menyebar SMS palsu akhirnya terbongkar apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan operasi haram itu menerusi Op Pancing baru-baru ini.

Seorang individu diberkas ketika mengendalikan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) di dalam kenderaan berhampiran sebuah pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan mendapati alat itu digunakan untuk menghantar SMS palsu, pautan phishing dan mesej berunsur perjudian kepada orang awam.

Serbuan susulan ke sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam pula membawa kepada rampasan pelbagai kelengkapan komunikasi serta sebuah MPV yang diubah suai untuk operasi Fake BTS mudah alih.

Sebanyak 45 barangan bernilai RM100,000 dirampas dalam operasi tersebut. Menurut MCMC, taktik sindiket ini semakin canggih apabila peralatan mereka diubah suai untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga 10 tahun. Turut disiasat bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 dengan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara tiga tahun