Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun pada bulan lalu, dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan baginda yang bertakhta selama 70 tahun, ada kalanya tidak menghadiri majlis yang diadakan seperti yang dilaporkan media.
Namun, apabila pulih semula daripada keadaan itu, baginda tiada masalah untuk muncul semula di khalayak ramai menghadiri sebarang upacara yang diadakan.
Apa sebenarnya ‘episodic mobility problems’?
Ia suatu keadaan apabila seseorang itu tiba-tiba berhadapan keadaan kesukaran bergerak selepas baik daripada sakit sendi atau keletihan akibat penyakit tertentu.
Keadaan itu menyebabkan seseorang itu secara tiba-tiba tidak dapat bergerak seperti biasa termasuk menggerakkan tangan atau berjalan.
Bagaimanapun, situasi itu boleh sembuh semula dengan rawatan holistik dan pemakanan yang betul bergantung kepada pesakit itu sendiri.
Perunding Kanan Geriatrik dan Ketua Perubatan Geriatrik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Chin Ai-Vyrn, berkata ‘episodic mobility problems’ bukan penyakit tetapi adalah suatu keadaan yang menyebabkan berlaku masalah keupayaan untuk bergerak kerana masalah kekuatan otot.
Katanya, ia adalah satu perubahan jangka pendek atau sementara dan jika sudah sembuh, pergerakan pesakit akan kembali normal semula.
“Keadaan ini sering berlaku kepada mereka yang sudah berusia kerana pelbagai faktor termasuk kerana usia, penyakit sedia ada, keadaan fizikal dan tahap kecergasan.
“Bagaimanapun golongan muda juga tidak terlepas daripada menderitanya, namun mereka lebih mudah sembuh berbanding golongan berusia yang akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Punca ‘episodic mobility problems’
Mengulas lanjut, Dr Ai-Vyrn berkata, keadaan itu berlaku berpunca daripada penyakit atau kesakitan dialami pesakit ketika itu.
Katanya, antara punca penyakit atau kesakitan disebabkan demam, arthritis, terjatuh, jangkitan kuman, ubat tidak sesuai hingga menyebabkan darah turun mendadak dan macam-macam lagi.
“Sebagai contoh, apabila seseorang menghidap COVID-19, dia akan merasa letih, banyak berbaring daripada bergerak.
“Namun, apabila dia pulih sepenuhnya daripada COVID-19 tetapi dia sukar bergerak kerana kurang pergerakan sebelum itu, merasa pening, sesak nafas dan keadaan itu dinamakan sebagai ‘episodic mobility problems’,” katanya.
Contoh lain, apabila seseorang terkena jangkitan kuman seperti paru-paru atau air kencing dan beberapa hari kemudian merasa kurang stabil dan susah bangun dari kerusi.
Namun, selepas beberapa hari mendapat rawatan dengan mengambil ubat antibiotik, pesakit akan kembali pulih seperti sedia kala.
Jenis rawatan
Ada pelbagai jenis rawatan ‘episodic mobility problems’ dan ia bergantung kepada masalah kesihatan dialami pesakit.
“Begitu juga tempoh sembuh, bergantung juga kepada masalah kesihatan pesakit dan seseorang yang tiada masalah kesihatan lain, cergas atau aktif bersukan, tempoh pulih sudah pasti akan lebih singkat,” katanya.
Ada pelbagai jenis rawatan seperti ubat yang sesuai, fisioterapi atau terapi cara kerja bersesuaian dengan keadaan pesakit ketika itu.
Namun, lebih penting adalah semangat pesakit untuk kembali pulih seperti sedia kala kerana apabila semakin lemah, semakin sukar sembuhkan keadaan dialami.
Berisiko lumpuh
Perlu juga melihat pola pemakanan sama ada seimbang atau tidak, melakukan senaman dan paling penting mereka yang mempunyai komorbiditi adalah menyemak semula ubat daripada penyakit sedia ada.
“Penting menyemak semula ubat bagi mengurangkan masalah tekanan darah yang boleh menjadi punca ‘episodic mobility problems’.
“Apabila rawatan betul diberikan, pesakit boleh kembali pulih kembali atau menjadi lebih baik daripada sebelumnya kerana keadaan ini bukanlah kekal,” katanya.
Bagaimanapun, pesakit yang gagal mendapatkan rawatan tepat terutama kerap mengalami keadaan itu, berisiko mempunyai masalah pergerakan yang kekal.
Pesakit akan menjadi sukar bergerak dan perlu mendapatkan bantuan daripada orang untuk bergerak, perlu menggunakan kerusi roda, hanya terbaring di katil atau lebih teruk turut berisiko lumpuh.
“Keadaan yang berulang boleh berlaku kerana banyak punca. Boleh juga berlaku kerana kali pertama akibat penyakit sedia ada seperti arthritis dan kali kedua akibat COVID-19.
Rawatan tingkatkan kualiti hidup
Selain itu, jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti peningkatan mendapat jangkitan kuman.
Justeru, beliau menegaskan supaya pesakit mendapatkan rawatan awal dan segera terutama mereka yang berusia bagi memastikan kualiti hidup sentiasa dalam keadaan baik.
“Mereka yang ada penyakit seperti kencing manis, tetapi tidak pernah mengalami ‘episodic mobility problems’ adalah mereka yang mempunyai kualiti hidup yang baik.
“Ini kerana berbanding pesakit mengalami ‘episodic mobility problems’, mereka perlu banyak bergantung kepada orang di sekeliling seperti ahli keluarga.
“Jika ini berlaku, rawatan secara agresif perlu dilakukan segera untuk meningkatkan semula kualiti hidup,” katanya.
Dr Ai-Vyrn berkata, risiko penyakit ini kalangan golongan berusia masih boleh dielak dengan bantuan keluarga dan komuniti setempat.
Komuniti boleh membantu dengan mengadakan aktiviti seperti ‘taichi’ atau ‘zumba’ di kawasan perumahan supaya sama-sama boleh menjadi sihat.
“Keluarga boleh membantu dengan memberi semangat sekali gus membantu mengurangkan risiko mengalami episodic mobility problems,” katanya.
