KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempertikaikan keputusan Malaysian Football League (MFL) meringankan hukuman ke atas Selangor selepas mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, tindakan ‘mengheret’ Sultan ke dalam permasalahan bola sepak dilihat bakal menimbulkan kebimbangan dan menjadi ikutan oleh pasukan bermasalah bagi menyelesaikan isu dihadapi mereka dengan jalan mudah.
“Selepas ini yang mana kelab tidak membayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga, suruh Sultan tulis surat murka sahaja senang.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail / TMJ – Sumber : Instagram
“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluarkan surat. Selepas ni Tuanku Sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tidak boleh?,” ujarnya lagi.
Intipati hukuman yang diringankan oleh MFL kepada Selangor FC
Hukuman yang diringankan dengan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor FC adalah seperti ;
- Denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.
- Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.
- MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.
- Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.
- Walaubagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.
- Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan.
MFL juga menambah kenyataan dengan memberitahu tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga (3) hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.
Reaksi Sultan Selangor atas hukuman yang dikenakan sebelum diringankan
Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.
Dalam titah kenyataan, baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.
Baginda yang juga Penaung FAS turut menzahirkan pandangan bahawa hukuman dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan sudah pun diberikan kepada pasukan lawan.
SUMBER : BERITA HARIAN