KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau pada jaket rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala logo MOM dan warna Jalur Gemilang yang sebelum ini berwarna emas akan ditukar kembali kepada warna asal.
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang merupakan Presiden MOM berkata mereka akan berbincang dengan penaja pakaian rasmi iaitu Yonex Sunrise selepas diambil kira maklum balas dari pelbagai pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan peminat sukan tanah air yang rata-rata memberi maklum balas negatif terhadap baju tersebut.
Perbincangan itu diharapkan akan memberi laluan kepada penambahbaikan reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan peminat sukan dan rakyat jelata.
“Sesungguhnya MOM mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.“
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
“Kami juga menghargai prinsip KBS dan agensi kerajaan lain yang menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung persatuan sukan kebangsaan yang bebas dan tidak berasaskan keuntungan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Klik disini untuk membaca artikel mengenai pelancaran baju rasmi kontinjen Malaysia dalam Olimpik 2024 dikritik oleh netizen ;
Seperti yang sudah dijelaskan oleh MOM sebelum ini, warna Jalur Gemilang ditukar menjadi emas adalah simbolik usaha Malaysia yang masih lagi mencari pingat emas di sukan Olimpik sejak dulu lagi.
“Niat asal pasukan memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas digabungkan dengan hitam berserta logo MOM berwarna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi Kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama.“
“Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera negara dan lima gegelung itu menepati garis panduan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa),” diterangkan oleh Mohamad Norza.
SUMBER : BERNAMA, SINAR HARIAN



