KOTA KINABALU, 19 Sept – Pelajar yang terjejas akibat banjir di Sabah kini boleh mendapatkan akses pembelajaran percuma melalui kelas tuisyen atas talian yang disediakan di pusat NADI berhampiran. Inisiatif ini terbuka kepada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain kelas tuisyen, pelajar turut berpeluang menggunakan kemudahan internet dan menyertai Program Perkhidmatan Pintar NADI yang ditawarkan di pusat berkenaan. Langkah ini dilihat mampu membantu memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terhenti meskipun berdepan dengan situasi banjir.

Orang ramai, khususnya para pelajar dan keluarga yang terkesan, digalakkan hadir ke pusat NADI terdekat untuk memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan. Pihak berkuasa dalam masa sama mengingatkan supaya semua pihak terus mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika berada di kawasan terjejas.