parlimen anwar

Kerajaan telah memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) supaya dapat dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Pindaan tersebut membolehkan mangsa ‘scam’ untuk mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan telah mendapat wang rampasan sebanyak 34.8juta daripada jenayah penipuan dalam talian itu dengan kadar 3,595 kes bagi kesalahan penipuan dalam talian disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya setuju ia (kes) sekarang ini akan mengambil masa, ramai (mangsa) merayu (wang dipulangkan) kerana kes (dalam) mahkamah akan belanjutan

“Oleh demikian, apa diputuskan adalah untuk dipinda Kanun Tatacara Jenayah supaya membolehkan pulangan (dana yang dicuri) kepada mangsa disegerakan dengan syarat bon disediakan sementara kes (di mahkamah) dijalankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menjawab persoalan daripada Tan Hong Pin (PH-Bakri) tentang langkah kerajaan agar mempercepatkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa. Kerajaan telah pun bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ke 24 jam sehari.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memaklumkan kepada semua bank di negara agar memantau aduan secara 24 jam sehari daripada pengguna mereka yang menjadi mangsa scam.

“Selain itu, ada usaha ke arah langkah automation supaya pengadu boleh ambil tindakan menghentikan pengeluaran dana dari bank mereka secara serta-merta, ini perkembangan baharu yang dilakukan BNM,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan juga menambah dana bagi pengoperasian NSRC sebanyak RM10 juta bagi tahun ini, sekaligus penambahan jumlah pegawai sebagai langkah memperkasakan penguatkuasaan pusat respons berkenaan.

– BERNAMA