PLAINFIELD, Ill. (WLS) – Seorang lelaki bertindak menikam seorang kanak-kanak lelaki sehingga maut dan mencederakan seorang wanita di rumah mereka atas sebab mereka beragama Islam, kata Pejabat Sheriff Will County pada Sabtu lepas.
Wadea Al-Fayoume, 6, maut ditikam sebanyak 26 kali di rumahnya pada jam 11 pagi, manakala Hanaan Shahin, 32, selaku ibunya masih dalam keadaan kritikal di hospital setelah dicekik dan juga ditikam sebanyak 12 kali oleh seorang lelaki yang dipercayai tuan tanah kepada rumah yang mereka diami.
Penyiasat Will County berkata, Wadea dan ibunya diserang oleh tuan tanah mereka, Joseph M. Czuba, 71 yang kini didakwa dengan pembunuhan tahap pertama, percubaan pembunuhan tahap pertama, dua pertuduhan melakukan jenayah kebencian serta pertuduhan membunuh dengan niat.
Bapa Wadea, Odey Al-Fayoume berkata anak lelaki dan bekas isterinya telah menyewa rumah Czuba’s sejak dua tahun lepas, tanpa sebarang isu timbul sehingga Sabtu lalu iaitu pada hari kejadian. Dalam kesempatan itu, dia berkongsi rasa sedih dan rasa kecewanya terhadap suspek kerana menurutnya, apa yang berlaku pada anak dan bekas isterinya adalah suatu tindakan jenayah kebencian, memandangkan anak dan bekas isterinya adalah warga Palestin.

Pegawai Sheriff Will County ketika membacakan pertuduhan turut menyifatkan jenayah itu sebagai suatu perbuatan yang tidak masuk akal dan mengatakan Czuba adalah penjenayah pengecut. Beliau menyatakan bahawa kedua-dua mangsa dalam serangan kejam ini menjadi sasaran suspek hanya kerana mereka beragama Islam ekoran konflik Timur Tengah yang berterusan melibatkan Hamas dan Israel.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam di Chicago, Ahmed Rehab ketika sidang media langsung di Pusat Komuniti Muslim (MCC) semalam ada menjelaskan secara terperinci kronologi kes ketika kejadian.
“Dia (Czuba) mengetuk pintu, dan seperti hari-hari lain, Hanaan membuka pintu tanpa mengesyaki apa-apa. Hanaan buka pintu dan Czuba terus mencekiknya sambil berkata ‘kamu orang Islam mesti mati’. Kemudian, Joseph cuba menikamnya beberapa kali sebelum Hanaan lari ke bilik air untuk hubungi (talian kecemasan) 911.
Apabila Hanaan keluar dari bilik air, dia menjumpai jasad anak lelakinya, Wadea yang telah meninggal dunia disebabkan tikaman yang banyak,” jelas beliau.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden turut berduka cita dengan kejadian itu dan dalam satu kenyataan beliau pada petang Ahad, beliau berkata:
“Saya dan Jill terkejut apabila mendengar tentang pembunuhan kejam seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan cubaan membunuh ibu kanak-kanak itu di rumah mereka semalam di Illinois.
“Keluarga (Muslim Palestin) kanak-kanak itu datang ke Amerika untuk mencari apa yang kita semua cari, iaitu sebuah perlindungan untuk hidup, belajar, dan beribadah dengan aman.
“Tindakan kebencian yang mengerikan ini tidak mempunyai tempat di Amerika, dan bercanggah dengan nilai asas kita: kebebasan daripada merasa takut mengenai cara kita berdoa, apa yang kita percaya dan siapa kita.
“Sebagai rakyat Amerika, kita mesti bersatu dan menolak Islamofobia dan segala bentuk ketaksuban dan kebencian. Saya telah berkata berulang kali bahawa saya tidak akan berdiam diri dalam menentang kebencian. Kita mesti tegas. Tidak ada tempat di Amerika untuk membenci sesiapa.
“Kami menyertai semua orang di White House dalam menyampaikan ucapan takziah dan doa kami kepada keluarga mangsa, termasuk (proses) pemulihan si ibu, serta kepada komuniti masyarakat Palestin, Arab dan Muslim Amerika yang lain,” kata beliau dalam kenyataannya.

Gabenor JB Pritzker juga mengeluarkan kenyataan menerusi hantaran di akaun media sosial X berikutan jenayah itu.
“Mencabut nyawa seorang kanak-kanak berusia enam tahun atas nama ketaksuban adalah kejahatan. Setiap orang Illinois – termasuk orang Islam, Yahudi, dan jiran Palestin – layak untuk hidup bebas daripada ancaman kejahatan seperti itu.”
Senator A.S. Tammy Duckworth juga berkata, “Saya jijik dengan jenayah kebencian ganas yang mengerikan ini yang menyasarkan ibu dan anak yang tidak bersalah hanya kerana mereka beragama Islam.”
Sen A.S. Dick Durbin turut mengeluarkan kenyataan, berkata, “Hati saya hancur mendengar berita pembunuhan ngeri Wadea Al-Fayoume warga Palestin-Amerika yang berusia 6 tahun. Dan doa saya bersama ibunya, Hanaan Shahin, agar dia pulih daripada lebih daripada sedozen luka tikaman dan realiti kehilangan anak lelaki manisnya.”
