IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata satu laporan telah diterima pada jam 11.44 pagi Isnin mengenai insiden itu.
“Siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah di sebuah rumah lot dan ketika kejadian, mangsa bersama ahli keluarga berada di dalam rumah tersebut.
Pada jam lebih kurang 9:30 pagi, mangsa telah dijumpai oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian,” jelasnya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah dihantar ke hospital dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11:02 pagi, Isnin.
Menerusi bedah siasat, punca kematian mangsa telah disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun iaitu terdapat kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul. Kes kemudiannya disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), katanya.
Yahaya turut menasihati dan memberi peringatan khususnya kepada ibu bapa atau penjaga agar tidak membiarkan kanak-kanak bawah jagaan mereka ditinggalkan tanpa pengawasan. Menurutnya, hal ini bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini.
Sumber: BERNAMA
