SEPANG – Rakyat Malaysia dengan nama Nurul Ain Haron yang tular sebelum ini kerana berada di Gaza dalam serangan negara haram Israel telah selamat tiba di tanah air jam 8. 55 malam pada 14 November semalam dengan menaiki syarikat penerbangan Malaysia (MAS) dari Kaherah.

Suaminya,  Mohamed AM Shaat yang merupakan warga Palestin turut mengikuti isterinya untuk pulang ke Malaysia dan mereka disambut dengan air mata oleh bapa isterinya, Haron Hamim dan keluarganya yang lain di ruang kenamaan di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apabila ditemui oleh pemberita, Haron Hanim, yang berusia 65 tahun, menyuarakan rasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan proses yang mudah untuk membawa pulang anaknya ke Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa kali terakhir mereka bertemu dengan anak sulungnya adalah pada tahun lepas, dan beliau hanya dapat mengetahui keadaan anaknya melalui media sosial.

Beliau juga turut menyatakan rasa takut terhadap keselamatan anaknya ketika pembunuhan beramai-ramai ataupun “genocide” yang dilakukan oleh pihak tentera Israel terhadap rakay Palestin dan apabila anaknya (Nurul Ain) memuat naik video membuat kerja amal dengan membantu rakyat Palestin, hatinya menjadi sedikit lega sebagai seorang ayah.

Berikutan kelibat Nurul Ain di wilayah Palestin, dia menceritakan pengalamannya di Gaza dan dia bertekad untuk berada disana namun keadaan di Gaza semakin teruk dan menyebabkan Nurul Ain ingin pulang ke pangkuan keluarganya di Malaysia.

“Alhamdulillah. Sebenarnya saya dan suami pada mulanya tidak mahu keluar kerana keluarga mentua masih di sana tetapi keadaan menjadi semakin teruk.

“Kejadian itu sangat luar biasa berbanding yang berlaku pada 2014, jadi saya dengan suami buat keputusan untuk pulang supaya suami dapat terus bekerja dan menyara keluarganya.

“Jadi kami berterima kasih kepada semua terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, duta di Kaherah, Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri (KLN),” ujarnya ketika ditanya oleh pemberita di KLIA.

Pada 12 November yang lalu, Nurul Ain berjaya dievakuasi dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Kementerian Luar membuat pengumuman bahawa sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah, Nurul Ain dan suaminya menerima panggilan video daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang ingin menanyakan khabar mereka.

Video Tiktok Nurul Ain bertarikh 18/10/2023 menceritakan keadaan dan pengalaman dia Gaza, Palestin.

SUMBER : BERITA HARIAN 1, BERITA HARIAN 2