SHAH ALAM – Penyanyi wanita no.1 Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza menyuarakan kebimbangannya mengenai keadaan lebih 100 orang kanak-kanak Palestin yang belajar di Tadika Afwa Wal-Aafiyah yang dibinanya di Gaza, ekoran kekejaman rejim Zionis Israel.

Menurutnya, tadika itu kini tidak dapat meneruskan operasi oleh kerana serangan bertubi-tubi ke atas Gaza, dan kanak-kanak serta penjaga tadika sudahpun diarahkan untuk berpindah ke selatan Gaza.

“Memandangkan krisis yang berlaku itu, memang sekolah tadika di Gaza tidak boleh beroperasi sebab dalam keadaan perang, dan (kemudiannya) diarahkan (untuk) berpindah ke selatan Gaza.

“Itu yang mereka lakukan sekarang dan Alhamdulillah, Allah (SWT) melindungi mereka dan (mereka) sudah selamat sampai di bahagian selatan Gaza.

“Saya harap bila keadaan kembali pulih, kita boleh (meneruskan operasi tadika seperti biasa),” jelasnya ketika sidang media Program Bizjihad anjuran Lembaga Zakat Selangor di sini, semalam.

Menurutnya lagi, kemusnahan yang berlaku di sana tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membantu kanak-kanak di Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa.

“Apapun keadaan sekarang ini, kemusnahan sudah berlaku tetapi (perkara ini) tidak (akan) mematahkan semangat saya dan suami untuk meneruskannya.

“Sekiranya perlu dibuat di tempat baharu, kita akan usahakan. Bangunan itu, kalau ikut Dr Mohanad (rakan Siti di Gaza), (bangunan tadika) tidak dibedil, tidak dibom tetapi kita sedia maklum (bahawa) mereka sudahpun dikeluarkan dari situ.

“Saya berharap apabila krisis ini berakhir, mereka boleh pulang ke tempat masing-masing (terutama kanak-kanak serta penjaga tadika),” katanya.

Pada masa yang sama, Siti memaklumkan bahawa Yayasan Nurjiwa sudah menghantar pakaian, selimut, dan bahan makanan kepada semua kanak-kanak itu, baru-baru ini.

“Saya dan suami setiap hari menunggu ‘update‘ daripada Dr Mohanad. Dia akan ke hospital setiap hari untuk mendapatkan wifi (jalinan internet) sebab hendak pastikan kami di sini tidak risau.

“Selesai maklum perkembangan kepada saya, dia akan kembali ke tempatnya. Setiap harii di berulang-alik.

“Saya mesti tanya perkembangan keadaan anak-anak (di Gaza). Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, tapi kita mendoakan semoga Allah beri bantuan, perlindungan, dan keajaiban kepada mereka agar segalanya cepat berakhir,” luahnya.

Saksikan video penuh dibawah.

Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika sidang media Program Bizjihad anjuran Lembaga Zakat Selangor di Shah Alam, semalam. – Harian Metro

Pada 5 Oktober 2021, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) telah menubuhkan sebuah tadika di Gaza, Palestin yang diberi nama Afwa Wal-Aafiyah (Afwa dan Aafiyah) menerusi Yayasan Nurjiwa.

tadika dibangunkan siti nurhaliza

Dalam laporan media pada tahun yang sama, Siti telah menjelaskan bahawa setiap bulan, dia dan suami secara peribadinya akan memberikan sumbangan untuk keperluan pembangunan sekolah itu (seperti kegunaan pembelajaran, tenaga pengajar, pelajar termasuk kemudahan makanan) kerana dia mahu tadika berkenaan berterusan dan sepenuhnya ditanggung olehnya, suami serta Yayasan Nurjiwa.

Sumber: Harian Metro