KUALA LUMPUR – Seorang pengembara lelaki warga asing meluahkan kekeliruan dan kekecewaannya selepas mengalami suatu situasi yang disifatkannya sebagai kurang sopan di sebuah kafe Cina tempatan di Georgetown, Pulau Pinang.
Video satu minit yang telah mencecah 1.1 juta tontonan itu pada asalnya disiarkan oleh pengguna @realwildcarlos pada 24 Sep di TikTok sebelum ianya kembali popular pada minggu lalu selepas disiarkan oleh beberapa media di internet.
Pemilik akaun TikTok @realwildcarlos, juga dikenali sebagai Carlos ialah seorang pengembara yang suka melancong dan sering menyiarkan video pengembaraannya di seluruh dunia menerusi platform media sosialnya iaitu YouTube, TikTok dan Instagram.
Bagaimanapun, dalam satu kejadian ketika pengembaraannya ke Malaysia membuatkan dia terpinga-pinga dan rasa kecewa ekoran layanan kurang sopan oleh pekerja-pekerja di kafe berkenaan.
Dalam video itu, Carlos meluahkan rasa ingin tahunya tentang sebuah minuman bernama ‘Jus Nutmeg’, tertarik dengan kemungkinan rasa unik yang belum pernah dialaminya.
Di awal video itu, Carlos telah bertanya tentang minuman tersebut kepada beberapa pekerja di kafe itu, namun mereka menjawab dengan ekspresi keliru dan mengangkat bahu, sambil berkata, “Saya tidak tahu,” seolah tidak dapat memahami permintaan Carlos yang mungkin disebabkan oleh halangan bahasa atau latar belakang asingnya.
Kemudian, tanpa diduga, seorang pekedai lelaki yang dipercayai pemilik kafe tersebut secara tiba-tiba meminta Carlos untuk meninggalkan premis itu, dengan alasan bahawa dia tidak membeli sebarang air, menyebabkan Carlos berasa terkejut dan kecewa kerana perkara itu adalah secara tiba-tiba dan malah kurang sopan.
Ini menyebabkan Carlos berasa benar-benar bingung, kerana dia secara gigih cuba memesan jus ‘Nutmeg’ itu, memesan kepada hampir semua pelayan sekurang-kurangnya empat kali, tetapi setiap kali dibalas dengan jawapan ‘tidak tahu’.
Sementara pekedai lelaki itu terus mendesak bahawa Carlos perlu memilih untuk pesan satu minuman atau mengosongkan premis, Carlos berasa semakin bingung dan tidak disenangi sebelum berdiri dan menunjukkan nama minuman yang ingin dipesannya di papan menu kepada pekedai tersebut.
Semakin memahami apa yang dimahukan oleh Carlos, ketika itu barulah pekedai tersebut memberitahu bahawa jus ‘Nutmeg’ sudah habis dijual. Dengan rasa gusar, Carlos meluahkan kekecewaannya, sambil mempersoalkan tindakan pekedai itu yang seperti ‘menghalaunya’ dari kedai sedangkan boleh sahaja beritahu kepadanya bahawa jus tersebut sudah habis dijual.
Pada minggu lalu, video itu tersebar dalam kalangan ramai penonton Malaysia, menunjukkan rasa simpati mereka terhadap kejadian itu yang mungkin akan merosakkan pengalaman Carlos sepanjang penginapannya di Malaysia.
Tonton video penuh di akaun rasmi TikTok @realwildcarlos
Sumber: NewStraitsTimes






