Jepun

PUTRAJAYA – Semalam, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahawa tiada rakyat Malaysia yang terkesan dalam insiden di Jepun pada baru-baru ini.

Insiden tersebut merujuk kepada kejadian gempa bumi dan kemalangan pesawat di lapangan terbang yang berlaku di Jepun.

“Tidak ada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, dan di kawasan gempa bumi itu ada rakyat Malaysia dan pelajar-pelajar kita yang tinggal disitu tetapi tidak ada yang terjejas dan mereka semuanya selamat.” ujarnya ketika ditemu bual oleh pemberita selepas Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Fasa Kedua.

Beliau turut menyatakan Malaysia sedia untuk menawarkan apa sahaja bentuk bantuan dan sokongan kepada Jepun jika diperlukan.

“Buat masa ini, mereka (Jepun) mempunyai keupayaan yang cukup, walau bagaimanapun kita telah menawarkan juga bantuan dan sokongan yang mungkin mereka perlukan.” tambahnya lagi.

Pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan pada Selasa, pesawat Japan Airlines JAL 516 dari Hokkaido terlibat dalam satu kemalangan dengan pesawat pengawal pantai MA-722 semasa proses mendarat di Lapangan Terbang Haneda. Kejadian tersebut menyebabkan kedua-dua pesawat itu terbakar.

Lima daripada enam anggota krew kapal pengawal pantai tewas dalam kejadian tersebut, manakala kapten kapal berjaya menyelamatkan diri namun mengalami kecederaan serius.

Pesawat pengawal pantai tersebut sedang membawa bantuan ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di Wilayah Niigata, yang telah melanda tengah Jepun pada petang Isnin sebelum kejadian ini.

Beberapa hari sebelum itu, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun, menyebabkan ombak tsunami setinggi lebih satu meter. Kejadian ini turut meruntuhkan bangunan, mencetuskan kebakaran besar di pelabuhan, dan merosakkan jalan raya.

Bilangan mangsa akibat gempa bumi itu meningkat kepada 78 orang pada pagi Khamis, setelah beberapa siri gempa bumi dengan kekuatan sehingga 7.6 pada skala Richter melanda wilayah dan kawasan sekitarnya, dilaporkan oleh Xinhua.

SUMBER : BERNAMA