Ekonomi Malaysia Berada Dalam Momentum Baik Bagi Capai Sasaran KDNK Pada 4 - 5 Peratus

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berada dalam momentum yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sekitar 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sentimen perbelanjaan pengguna lazimnya berada pada tahap melebihi purata pada suku keempat berbanding suku tahun lain.

“Suku keempat adalah tempoh pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa untuk perbelanjaan buka sekolah, perbelanjaan tahun baharu, perayaan dan sebagainya apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap barangan.

“Permintaan merupakan komponen terbesar dalam KDNK. Oleh itu, kita menjangka ada tuang untuk melihat prestasi KDNK berkembang pada suku keempat nanti,” katanya kepada wartawan Bernama sebelum ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, pada Rabu.

Ekonomi Malaysia Berada Dalam Momentum Baik Bagi Capai Sasaran KDNK Pada 4 - 5 Peratus
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, pada Rabu.

Ditanya sama ada jangkaan KDNK pada suku keempat akan melebihi pencapaian suku ketiga, beliau berkata ia perlu dilihat dalam cerapan data terlebih dahulu.

Pada Oktober, katanya cerapan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) untuk sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik didapati meningkat, begitu juga perdagangan antarabangsa apabila lebihan dagangan turut meningkat.

Di samping itu, katanya kadar pengangguran pada bulan yang sama menurun kira-kira 0.5 peratus berbading bulan sebelumnya.

“Justeru, untuk Oktober, data telah menunjukkan ekonomi Malaysia bergerak ke arah berkembang. Sehinga Januari, kita dapati aktiviti ekonomi pada November dan Disember juga, tidak ada keadaan yang namoak ‘deprive’ berikutan ekonomi terus menunjukkan jajaran berkembang.

“Jika kita menggabungkan ketiga-tiga suku awal, negara telah mencapai KDNK sebanyak 3.9 peratus. Oleh itu, saya menjangka pencapaian ekonomi negara akan terarah seperti yang telah disasarkan oleh kerajaan,” jelas Mohd Uzir.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun tersebut manakala secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023.

Mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka bermula 2 Jan sehingga 31 Mac, Mohd Uzir berkata, setakat 8 malam pada 3 Jan, PADU telah merekodkan sebanyak 396,181 jumlah pengguna berdaftar.

Berdasarkan sambutan terhadap penggunaan PADU setakat ini, katanya beliau yakin sasaran untuk memastikan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar akan dapat dicapai.

“Dalam memastikan tiada yang terkecuali untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem itu, kerajaan akan turut mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa setakat ini, maklum balas yang diterima daripada Jabatan Perangkawan Negeri dan kakitangan di lapangan mengenai penerimaa sistem itu di kawasan luar bandar adalah positif dengan dibantu oleh penjelasan daripada Jabatan Penerangan (JaPen).

Sumber: BERNAMA